Sejarah Islam : Pemerintahan Sultan Saifudin Muzaffar Al-Qutuz
Nama beliau
ialah Qutuz bin Abdullah al-Mu’izzi Saifuddin. Tidak diketahui tarikh
kelahirannya adapun tarikh wafatnya pada tahun 658h bersamaan 1260m. Dikatakan
namanya Mahmud bin Mamdud. Ibunya adalah saudara perempuan kepada Sultan
Jalaluddin Khawarizmshah dan bapanya anak kepada bapa saudara sebelah bapa
Sultan Jalaluddin. Beliau telah ditawan ketika serangan Mongol lalu dijual di
Damsyiq dan kemudiannya berpindah ke Kaherah. Beliau merupakan hamba kepada
seorang peniaga.
Qutuz
merupakan seorang pemuda yang berambut perang, berjanggut panjang dan bertubuh
tegap. Beliau merupakan seorang yang soleh, kuat mendirikan solat berjemaah dan
tidak pernah mengambil arak. Beliau merupakan salah seorang daripada Mamalik
Bahriah. Merupakan tentera Mamalik yang paling berani. Beliau adalah terkenal
sebagai seorang panglima, sangat berani, mahir dalam politik, kuat agama dan
suka kepada rakyat.
Qutuz
merupakan Sultan Mamalik selepas Aybak yang dikenali sebagai Sultan al-muiz
Izzuddin Aybak al-Jasyinker at-Turkumani as-Salihi dan anaknya Ali yang digelar
Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Aybak. Selepas menjadi sultan, Qutuz digelar
Sultan al-Muzaffar atau nama penuhnya Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz.
Sehingga
zaman beliau, Mamalik dikuasai oleh Syaratuddur, Sultan Aybak, Sultan Ali dan
Sultan Qutuz sendiri. Kerajaan Mamalik bermula tahun 648H. Sultan al-Muiz Aybak
menjawat jawatan Sultan Mamalik sehingga 655H. Kemudian Sultan Ali sehingga
tahun 657H sehinggalah perlantikan Sultan Qutuz yang menjadi sultan hanya
setahun antara 657-658H. Bukan semua golongan Mamalik ini merujuk kepada hamba
yang dijual kerana ada di kalangan mereka adalah kumpulan daripada bangsa Turki
yang lari daripada serangan Mongol. Mereka melarikan diri dan berkhidmat di
bawah sultan-sultan Mesir.
Dalam tempoh
yang singkat muncul daripada kalangan mereka ini generasi baru yang yang mampu
menjawat beberapa jawatan. Di antara mereka inilah Sultan Qutuz yang merupakan
keturunan raja yang sampai kepada Raja Khawarizm Shah. Beliau dibunuh oleh
pembesarnya antara al-Ghurabi dan As-salihiah pada 16 Zulkaedah tahun 658
hijrah dan tidak sampai setahun menjadi sultan Mamalik ketika pulang ke Mesir
sekembali daripada peperangan Ain Jalut setelah menewaskan Mongol.
Dikatakan
ketika beliau ingin kembali ke Mesir telah dihadang oleh panglima tenteranya
Bybaras dan sekumpulan besar pemimpin tenteranya lalu membunuhnya. Selepas iti
beliau dikebumikan di al-Qasir dan kemudian dipindahkan ke Kaherah. Sultan
Mamalik selepasnya ialah Sultan Ruknuddin az-Zahir Baybaras.
Peperangan Ain Jalut
Peristiwa ini
berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 H di Ain Jalut dan Bisan, Palestin. Medan
pertempuran tersebut terletak tidak jauh dari bandar al-Quds.
Ia adalah
satu peperangan yang berjaya menebus kembali maruah umat Islam setelah
dikalahkan oleh tentera Tatar di dalam peristiwa siri-siri serangan Tatar ke
atas bumi Islam. Panglima yang berjaya mengembalikan kemuliaan umat ini adalah
Saifudin Qutuz, salah seorang panglima Islam yang hebat. Kehebatan Qutuz dan
kepentingan peperangan Ain Jalut hanya akan dapat dirasai jika kita dapat
menyelami penderitaan umat hasil dari serangan Tatar ke atas umat Islam.
Kemaraan Tatar ke Negara Islam (617 H dan 628 H)
Serangan
Tatar ke atas umat Islam di bawah pimpinan kerajaan Abbasiah sebenarnya tidak
berlaku hanya pada tahun 656 H di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad. Sebaliknya
sebelum itu sudah pun ada dua siri serangan Tatar iaitu pada tahun 617 H dan
628 H.
Serangan
pertama Tatar ke atas umat Islam berlaku pada tahun 617 H – 620 H di bawah
pimpinan Genghis Khan. Serangan kali pertama ini mempunyai sebabnya yang
diperselisihkan oleh ahli sejarah Islam. Apa pun puncanya, Dr. Raghib
as-Sarjani lebih cenderung untuk mengatakan bahawa niat untuk menjatuhkan
kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian
lama.
Oleh kerana
jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan
pertamanya pada kali ini ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini
dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk
dijadikan pengkalan tentera Tatar untuk siri-siri serangan yang seterusnya.
Serangan
pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi
sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian
dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah
Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan
tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di
tengah-tengah kerajaan Islam.
Serangan
kedua Tatar ke atas umat Islam pula berlaku pada tahun 628 H. Pada tahun 624 H,
Genghis Khan telah digantikan oleh seorang lagi raja Tatar yang tidak kurang
bengisnya iaitu Okitai. Kerajaan Tatardi Mongolia dan China pada masa itu
berada dalam keadaan stabil dan kuat. Keadaan ini memberikan banyak kelebihan
kepada Okitai.
Lalu
bermulalah serangan kedua Tatar ke atas umat Islam sebagai menyambung serangan
yang pertama di zaman Genghis Khan. Serangan pada kali ini ditumpukan di
sekitar bumi Rusia dan Eropah. Okitai melantik panglima perangnya, Syurmajan
untuk mengepalai serangan pada kali ini.
Suasana
bertambah buruk pada serangan kedua ini kerana pimpinan Islam pada masa itu
berada dalam keadaan berpecah belah. Manakala sebahagian umat pula telah mula
menunjukkan sikap pengecutnya dan tidak berani untuk melancarkan jihad. Ibnu
al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang
didengarinya daripada sebahagian umat Islam yang berjaya melepaskan diri dari
serangan kedua ini. Di antaranya:
a. Seorang
tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia
membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat
tentangan dari sesiapa pun.
b. Seorang
tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut
tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan
mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata
dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.
c. Tentera
Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke
bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak
ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar
di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit
dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.
Serangan Ketiga (656 H) dan Kejatuhan Baghdad
Kerajaan
Tatar pada masa ini dipecahkan kepada tiga wilayah utama. Sebahagian ahli
sejarah menamakannya ‘segitiga emas’. Raja Tatar pada masa ini adalah Manku
Khan, seorang lagi Raja Tatar yang berjiwa keras dan mempunyai keazaman yang
kuat. Beliau mentadbir ibu negara kerajaan Tatar, Qaraquram dengan dibantu oleh
adiknya Ariq Bufa. Seorang lagi adiknya iaitu Qublai pula mentadbir jajahan
Tatar di sebelah Timur (meliputi China, Korea dan bumi sekitarnya). Manakala
jajahan Tatar di sebelah Iran dan bumi sekitarnya diserahkan kepada adiknya
Holago, nama yang tidak asing bagi umat Islam.
Manku Khan
ingin meneruskan misi Tatar yang seterusnya iaitu menjatuhkan kota Baghdad dan
menyerang bumi Syam (Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan) dan Mesir. Tugas ini
telah disandarkan kepada Holago, pahlawan Tatar yang mabukkan darah manusia dan
dianggap sebagai jelmaan Genghis Khan. Dr. Raghib Sarjani menganggapnya sebagai
manusia paling ganas sepanjang sejarah dunia. Kejahatannya itu makin bertambah
setelah beliau berkahwin dengan Taqazkhatun, permaisuri Mongolia beragama
Kristian yang amat membenci umat Islam.
Oleh kerana
Baghdad adalah ibu negara kerajaan Islam Abbasiah, persiapan yang dilakukan
oleh Holago dalam serangan ini agak teliti dan kemas. Tentera Tatar telah
dipecahkan kepada tiga kumpulan dan datang dari tiga arah yang berlainan.
a. Pasukan
pertama dipimpin oleh Holago sendiri. Ia dibantu oleh tentera elit Tatar
dibawah pimpinan Bato. Misi pasukan pertama ini adalah mengepung bahagian timur
kota Baghdad.
b. Pasukan
kedua dipimpin oleh Katabgha, pahlawan Holago yang terbaik. Tugas pasukan ini
adalah mengepung bahagian tenggara kota Baghdad. Katabgha jugalah yang memimpin
tentera Tatar menentang Qutuz di dalam peperangan Ain Jalut.
c. Pasukan
ketiga pula dipimpin oleh Bigo. Pasukan ketiga ini adalah tentera yang menjaga
sempadan Anadol (sekarang di Turki). Tugas pasukan ini adalah untuk mendatangi
Baghdad dari arah utara dan seterusnya mengepung bahagian barat kota Baghdad.
Ketelitian
perancangan Holago boleh dilihat dari beberapa sudut:
a. Pasukan
pertama dan kedua datang dari jarak 450 kilometer sebelum kota Baghdad. Walau
pun begitu Holago berjaya mengaburi mata kerajaan Abbasiah sehinggakan tentera
kerajaan Abbasiah hanya mengetahui kedatangan tentera itu ketika mereka hanya
beberapa kilometer dari kota Baghdad.
b. Pasukan
ketiga pula datang dari jarak 1,000 kilometer sebelum kota Baghdad. Tetapi
pasukan ini berjaya sampai tepat pada masa yang dijanjikan untuk bergabung
dengan kedua-dua pasukan yang lain.
c. Pasukan
ketiga terpaksa merentasi 1,000 km perjalanan di bumi Turki dan Iraq
(kedua-duanya adalah bumi Islam). Perjalanan ini akan merentasi perkampungan
Islam dan kemungkinan terpaksa berhadapan dengan pertempuran awal. Amat
menakjubkan apabila mereka berjaya berjalan tanpa disedari oleh orang Islam
kecuali setelah mereka berada pada jarak 50 km dari kota Baghdad di sebelah
Barat Daya. Kejayaan ini setelah mereka berjaya merasuah Gabenor Anadol, Qalaj
Arsalan dan Gabenor Mosul, Badruddin Lu’lu’ sehingga kedua-duanya bertindak
mengkhianati umat Islam.
Berlakulah
peperangan. Jatuhlah kota Baghdad dengan segala cerita duka di dalamnya.
Menurut Abul Hasan Ali an-Nadwi, umat Islam yang terbunuh di dalam peristiwa
kejatuhan Baghdad tersebut adalah 1,800,000 orang. Satu angka yang cukup
menakutkan sesiapa sahaja yang cuba membayangkannya. Darah mengalir di jalanan.
Buku-buku dicampak ke dalam sungai dan semua itu dianggarkan berjumlah sebanyak
dua juta naskhah buku. Ahli sejarah menganggap itu sebagai punca kemunduran
umat Islam selepas itu. Semua itu berlaku dalam masa 40 hari.
Kejatuhan Syam
Kejatuhan
Baghdad bukan kemuncak bagi penderitaan umat pada ketika itu. Sebaliknya umat
semakin menderita dengan sikap sebahagian raja dan ulama’ Islam pada masa itu
yang sanggup menggadaikan agama semata-mata untuk mendapat jaminan kehidupan
dari Tatar.
Siapakah yang
tidak sayu bila melihat sebahagian raja Islam menghulurkan tangan persahabatan
dengan Holago sedangkan darah jutaan umat Islam masih lagi belum kering? Raja
Mosul, Badruddin Lu’lu’ menghulurkan tangan persahabatan dengan Holago. Begitu
juga Kaikawis II dan Qalaj Arsalan, Raja Anadol. Raja Halab dan Damsyik,
al-Nasir Yusof juga mengambil langkah sama. Raja-raja itu telah membuka Iraq
Utara, sebahagian Syam dan Turki kepada Tatar tanpa peperangan. Tidak cukup
setakat itu. Tanggungan umat semakin berat apabila menyaksikan sebahagian
ulama’ pada masa itu mengeluarkan fatwa mengharuskan perjanjian damai tersebut
dengan hujah-hujah yang amat mengelirukan.
Hanya seorang
Raja di daerah tersebut yang mengiklankan jihad. Raja tersebut adalah Al-Kamil
Muhammad al-Ayubi, Raja Miyafarqin. Miyafarqin adalah bandar yang terletak
sekarang ini timur Turki menuju ke sebelah barat Turki. Tentera Raja Al-Kamil
Muhammad al-Ayubi menguasai timur Turki, barat laut Iraq dan timur laut Syria.
Tetapi
kegilaan Tatar mengatasi segala-galanya. Bandar Miyafarqin dikepung dan
akhirnya jatuh. Begitu juga dengan bandar Halab. Bandar Damsyik juga jatuh.
Kemuncaknya adalah penjajahan Tatar ke atas bumi Palestin.
Mesir Bumi Ribat (Benteng Islam)
Ketika Tatar
memulakan serangannya ke atas umat Islam, Mesir berada dalam krisis yang amat
runcing. Ia berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamalik dan melalui satu
pergolakan politik yang amat dahsyat. Kerajaan Mamalik Bahriah (salah satu fasa
dalam kerajaan Mamalik) mentadbir Mesir selama 144 tahun. Dalam tempoh tersebut
Mesir diperintah oleh 29 orang sultan. Satu jumlah yang banyak untuk
pemerintahan selama satu kurun setengah. Daripada 29 orang sultan tersebut, 10
daripadanya mati dibunuh dan 12 daripadanya digulingkan. Ini jelas menunjukkan
kepada kita bahawa kekuatan dan kekerasan adalah asas perubahan di dalam
kerajaan Mamalik.
Setelah fasa
Mamalik Bahriah, menyusul pula fasa Mamalik Muizziah. Pemerintah awal di fasa
ini adalah Raja Izzuddin Aibak. Beliau berjaya mengembalikan kestabilan politik
kepada Mesir. Tetapi kestabilan itu hanya bertahan selama tujuh tahun. Keadaan
kembali kucar kacir selepas pembunuhan beliau dan seterusnya pembunuhan
isterinya, Syajarah ad-Dur. Setelah bertukar ganti pemerintah, akhirnya Mesir
diperintah oleh Saifuddin Qutuz.
Pembunuhan
Raja Izzudin Aibak dan isterinya telah membawa kepada perselisihan di antara
Mamalik Bahriah (penyokong kerajaan lama) dan Mamalik Muizziah (kerajaan baru
yang diperintah oleh Qutuz) dan ianya masih berterusan di zaman Qutuz.
Sebahagian penyokong Mamalik Bahriah mengambil sikap berpindah ke bumi Syam dan
lain-lain. Manakala yang tinggal menetap di Mesir mengambil sikap mengasingkan
diri. Ini menjadikan Mesir lemah dari sudut pertahanan kerana asas kepada
pasukan tentera Mesir adalah penyokong Mamalik Bahriah.
Di masa yang
sama, serangan Tatar ke atas bumi Syam telah memutuskan Mesir dan Syam. Tiada
perhubungan di antara keduanya. Mesir juga tidak mendapat bantuan dari Sudan
dan negara-negara di utara Afrika. Ini menjadikan Mesir seolah-olah keseorangan
di tengah-tengah krisis yang berlaku di seluruh negara Islam.
Keadaan
menjadi semakin buruk apabila Mesir juga pada masa itu ditimpa krisis ekonomi.
Siri-siri perang Salib yang berlaku sebelum itu telah melumpuhkan ekonomi
Mesir. Sebahagian dari lokasi perang salib adalah di bumi Mesir. Tentera Mesir
juga adalah tentera yang banyak terlibat di dalam perang salib yang berlaku di
tempat lain. Salehudin Ayubi menjadikan Mesir sebagai salah satu benteng
pertahanannya.
Disamping
sebahagian tentera Salib yang masih ada di bumi Islam, masalah ditambah lagi
dengan kedatangan musuh baru Islam iaitu Tatar.
Qutuz, Penyelamat Ummah
Qutuz menaiki
tahta Mesir pada 24 Zulqaedah 657 H.
Sebelum
beliau menaiki tahta Mesir, Serangan pertama Tatar (617 H), serangan kedua
Tatar (628 H) dan kejatuhan Baghdad (656 H) telah pun berlaku dan meninggalkan
kesan yang amat parah kepada umat Islam di luar Mesir. Selepas beliau menaiki
tahta Mesir pula, Halab jatuh ke tangan Tatar pada Safar 658 H dan Damsyik
jatuh pada Rabi’ul Awal 658 H menjadikan keadaan di luar Mesir bertambah gawat.
Kejatuhan Palestin keseluruhannya juga berlaku pada masa yang sama. Mesir
bersempadan dengan Palestin di sebelah timur Mesir pada bandar Gaza.
Demikianlah
kita melihat Qutuz terbeban dengan satu masalah yang cukup berat. Sasaran Tatar
seterusnya adalah Mesir sedangkan Mesir tidak bersedia untuk menambah masalah
baru disamping masalah-masalah dalaman dan luaran yang sedia ada.
Sikap yang
ditunjukkan oleh Qutuz amat membanggakan umat Islam pada ketika itu. Sikap itu
terus menerus menjadi punca kepada kehebatannya pada pandangan mata umat
sepanjang zaman. Qutuz mengambil keputusan untuk menghadapi Tatar dan tidak
akan lari seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam. Dia juga
mengambil sikap tidak akan menghulurkan perdamaian kepada Tatar sebagai mana
yang menjadi pilihan sebahagian Raja-raja Islam ketika itu.
Tiga Langkah Awal
Qutuz
mengambil tiga langkah awal sebelum melancarkan peperangan ke atas Tatar.
Ketiga-tiga langkah ini dilihat amat berkesan dan menjadi sumber kekuatan
kepada tentera Islam pada ketika itu.
Langkah
pertama yang diambil oleh Qutuz adalah mengembalikan kestabilan keadaan dalaman
Mesir. Beliau memanggil golongan istana, pembesar-pembesar, menteri-menteri,
ulama’-ulama’ dan golongan berpengaruh di dalam masyarakat. Beliau berkata
kepada mereka: “Apa yang aku inginkan dari jawatan ini hanyalah agar kita
bersatu untuk melawan Tatar. Urusan itu tidak mampu diselesaikan tanpa Raja.
Apabila kita berjaya keluar dari masalah ini dan mengalahkan Tatar, urusan ini
terletak di tangan kamu semua. Pilihlah sesiapa yang kamu kehendaki untuk
menjadi pemerintah.”
Ucapan Qutuz
tersebut telah meredakan ketamakan sebahagian dari pembesar yang berniat untuk
merampas tahta Mesir dari tangan Qutuz.
Di masa yang
sama beliau telah memecat Menteri, Ibnu binti al-A’az dan menggantikannya
dengan Zainuddin Ya’kub bin Abd Rafi’. Ini kerana beliau lebih meyakini
kesetiaan Zainuddin Ya’kub daripada Ibnu binti al-A’az. Kemudian beliau
mengekalkan Farisuddin Aqtai as-Soghir sebagai panglima tentera walau pun
beliau adalah penyokong Mamalik Bahriah.
Langkah kedua
yang telah dilakukan oleh Qutuz adalah memberikan pengampunan kepada semua
penyokong Mamalik Bahriah. Perselisihan yang berlaku sebelum ini yang berpunca
dari pembunuhan Raja Izzuddin Aibak ingin segera dihentikan oleh Qutuz.
Mamalik
Bahriah mempunyai pengalaman yang luas di dalam medan peperangan. Di antara
kehebatan yang pernah mereka tunjukkan adalah kemenangan mereka di dalam Perang
Mansurah (salah satu siri perang Salib) pada tahun 648 H. Pengampunan itu telah
berjaya memujuk mereka yang telah keluar meninggalkan Mesir untuk kembali ke
Mesir. Rombongan penyokong Mamalik Bahriah kembali berduyun ke Mesir dari bumi
Syam, Karak (di Jordan sekarang) dan bumi kerajaan Saljuk. Dengan itu Mesir
berjaya mendapatkan kembali kekuatan tenteranya.
Langkah
ketiga yang diambil oleh Qutuz adalah mengusahakan penyatuan semula antara
Mesir dan Syam. Seperti yang diceritakan sebelum ini, Raja Damsyik dan Halab
(sebahagian dari bumi Syam) iaitu Raja Nasir al-Ayubi telah melakukan
perjanjian damai dengan Tatar. Perjanjian itu tidak berhenti setakat memohon
perdamaian, bahkan Raja Nasir al-Ayubi pergi lebih jauh dari itu dengan meminta
bantuan Tatar untuk menjatuhkan Mesir.
Qutuz menulis
surat kepada Raja Nasir al-Ayubi memohon penyatuan Mesir dengan Syam. Bahkan beliau
menyatakan kesanggupannya untuk duduk di bawah Raja Nasir al-Ayubi. Malangnya
surat tersebut tidak dilayan.
Tetapi
apabila Damsyik dan Halab ditawan oleh Tatar dan selepas Raja Nasir al-Ayubi
lari menyelamatkan diri ke Karak, tentera Syam telah bergerak menuju ke Mesir
dan bergabung dengan tentera Mamalik. Kesatuan ini menambahkan lagi kekuatan
Mesir dan memberikannya satu semangat yang cukup kuat untuk berhadapan dengan
Tatar.
Ketiga-tiga
langkah ini telah memberikan Mesir satu kekuatan baru pada awal tahun 658 H. Di
sini terserlah kepada kita kecekalan dan kesungguhan Qutuz. Ketiga-tiga langkah
awal yang mungkin memerlukan masa yang panjang untuk dicapai, telah berjaya
diselesaikan oleh Qutuz dalam masa tidak sampai tiga bulan sahaja dari tarikh beliau
menaiki tahta Mesir.
Disimpulkan
bahawa keadaan dunia Islam pada awal tahun 658 H adalah:
a. Mesir
berjaya mendapatkan kekuatannya
b. Baghdad,
Halab dan Damsyik jatuh ke tangan Tatar disamping negara-negara lain yang telah
jatuh sebelumya (Daulah al-Khowarizmiah, Daulah Arminiah, Daulah Karjiah)
c. Palestin
keseluruhannya jatuh ke tangan Tatar termasuk Gaza yang terletak hanya 35
kilometer dari sempadan Mesir
Surat Ancaman Holago
Ketika Mesir
masih lagi di peringkat awal untuk mempersiapkan dirinya, empat orang wakil
Holago telah datang memberikan surat perutusan dari beliau. Wakil tersebut
datang beberapa hari selepas kejatuhan Halab (Safar 658 H), iaitu hanya tiga
bulan selepas Qutuz menaiki tahta Mesir (Zulqaedah 657 H).
Surat
tersebut telah memperlekehkan kekuatan tentera Islam dan memberikan kata dua
kepada mereka; menyerah atau berperang. Sebahagian dari pembesar pada masa itu
mula merasa takut dan ingin menarik diri kerana persiapan Mesir pada ketika
masih lagi tidak seberapa jika dibandingkan dengan Tatar yang menguasai satu
kawasan jajahan yang cukup luas (dari Korea ke Poland hari ini).
Qutuz
mengumpulkan pembesar-pembesar dan panglima-panglima perangnya lalu berkata
kepada mereka:
“Wahai
pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka
berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad,
temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah
akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung
oleh orang yang tidak turut berjihad.”
Kata-kata
beliau telah menyentak dan menyedarkan kembali pembesar-pembesar Mesir ketika
itu. Mereka bukan berhadapan dengan dua pilihan yang diberikan oleh Holago,
tetapi mereka berhadapan dengan pilihan yang diberikan oleh Allah terhadap
mereka. Jihad pada ketika itu adalah fardhu dan mereka tidak ada pilihan selain
dari itu.
Setelah
berunding dengan semua pembesar, akhirnya mereka memutuskan untuk membunuh
keempat-empat utusan tersebut. Kepala mereka telah digantung di tengah bandar
Kaherah.
Perbuatan ini
yang bertujuan untuk menegaskan keberanian tentera Islam untuk berdepan dengan
Tatar telah mendapat kritikan sebahagian dari pengkaji sejarah. Mereka
berpendapat bahawa tidak terdapat sebab yang kuat untuk Qutuz membunuh kesemua
utusan tersebut kerana Islam adalah agama yang tidak membenarkan utusan perang
dibunuh.Walau pun begitu ada juga yang mengandaikan kemungkinan berlaku
beberapa peristiwa yang membawa kepada pembunuhan tersebut tetapi tidak
diketahui dan tidak tercatat dalam sejarah. Wallahu a’lam.
Masalah Belanjawan Perang dan Fatwa al-Izz bin Abdis
Salam
Selesai dari
masalah surat Holago, Qutuz berhadapan dengan satu masalah lain iaitu sumber
kewangan untuk mempersiapkan Mesir menghadapi peperangan. Belanjawan yang besar
diperlukan untuk memperbaiki benteng, jambatan, membeli senjata dan peralatan
perang serta bekalan makanan yang mencukupi untuk tentera dan rakyat jika Mesir
dikepung oleh Tatar. Dalam keadaan Mesir yang dilanda dengan krisis politk dan ekonomi
ketika itu, Qutuz tidak mempunyai masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah
itu setelah surat ancaman Holago sampai kepadanya memberikan isyarat bahawa
serangan Tatar akan datang pada bila-bila masa. Tatar sudah berada di sempadan
Mesir.
Qutuz memanggil
para pembesar negara lalu melakukan mesyuarat. Pilihan yang ada pada mereka
adalah untuk mengutip duit dari rakyat jelata. Ia perlu dilakukan segera.
Mereka tidak ada pilihan selain dari itu. Tetapi pilihan ini memerlukan satu
fatwa dikeluarkan oleh ulama’ Islam kerana umat tidak pernah kenal ada cukai
lain selain dari zakat. Tanpa fatwa tersebut, Qutuz tidak akan melakukannya
kerana menyelesaikan masalah dengan jalan yang tidak syar’ie hanya akan
menjebakkan Mesir ke dalam masalah lain yang mungkin lebih besar. Syariat
adalah batas bagi segala-galanya.
Di antara
yang dipanggil untuk turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah seorang
ulama’ bernama al-Izz bin Abdis Salam (lebih dikenali sebagai Izzuddin Abdis
Salam). Beliau lahir pada tahun 577 H. Ketika mesyuarat tersebut umurnya sudah
mencecah 81 tahun. Ibnu Daqiq al-Aid menggelarnya sebagai ‘Sultan kepada semua
ulama’. Gelaran ini diberikan kerana sifat beliau yang amat tegas di dalam
menasihati para pemerintah dan panglima perang ketika perang Salib sedang
rancak berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan fatwa di dalam masalah ibadah
tetapi juga turut campur tangan di dalam memberikan fatwa di dalam masalah
politik dan peperangan.
Beliau pernah
dipenjarakan di Damsyik dan di Quds kerana kelantangan fatwanya terhadap
pemimpin Islam yang mengkhianati umat Islam dan melakukan persepakatan dengan
tentera Salib. Setelah dibebaskan oleh Raja Soleh Najmuddin Ayub, raja Mesir
ketika itu, beliau berpindah ke Mesir dan menjadi Mufti Mesir setelah sebelum
ini menjadi Mufti di Palestin dan Syam.
Ketika Qutuz
mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Izzuddin Abdis Salam
mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:
“Apabila
negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus
diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat
tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah)
pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu
hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah
ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta
dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.”
Fatwa yang
cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Qutuz. Beliau memerintahkan
semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka
miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan; Mesir adalah negara yang kaya.
Tetapi kekayaan tersebut telah disalahgunakan oleh sebahagian pimpinan pada
masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat
jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan
belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin
bin Abdis Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar
yang segera.
Kejutan Dari Qutuz; Memerangi Tatar Bukan Bertahan di
Mesir
Mesir sudah
bersedia untuk menghadapi Tatar. Segala sunnah dan asbab telah diambil oleh
Qutuz. Qutuz berjaya menaikkan semangat rakyat Mesir. Qutuz berjaya memadamkan
perselisihan di antara pembesar Islam. Qutuz berjaya mendamaikan antara Mamalik
Bahriah dan Mamalik Muizziah. Qutuz berjaya menyatukan antara Mesir dan Syam,
dua wilayah Islam yang kuat. Qutuz berjaya memperkecilkan Tatar pada pandangan
umat Islam. Qutuz berjaya membersihkan jiwa pembesar dan rakyat. Qutuz berjaya
membersihkan wang-wang haram dan melancarkan jihad dengan menggunakan wang yang
halal.
Dengan
kekuatan tersebut Qutuz memilih untuk melakukan tindakan yang cukup berisiko.
Beliau telah mengisytiharkan pandangannya di dalam mesyuarat dengan pimpinan
tentera untuk mereka keluar menyerang Tatar di bumi Palestin dan mengubahnya
dari rancangan asal iaitu menunggu serangan Tatar di Mesir. Pandangan ini amat
mengejutkan pimpinan tentera sehinggakan sebahagian dari mereka bangun terkejut
setelah mendengar pandangan tersebut. Berlakulah perbincangan dan Qutuz
menerangkan kepada mereka rahsia pilihannya itu.
Qutuz
menegaskan beberapa noktah yang kemungkinan tidak disedari oleh sebahagian
pimpinan tentera akibat terlalu lama berada dalam krisis politik.
a.
Keselamatan Mesir bukan terletak di Kaherah tetapi sebaliknya bermula dari
sempadan Mesir di sebelah timur. Dengan itu usaha untuk menyelamatkan sempadan
Mesir – Palestin mesti dilakukan dari peringkat awal dengan cara menyerang
Tatar di Palestin.
b. Berperang
di luar Mesir memberikan Mesir kelebihan; iaitu mereka masih lagi ada peluang
kembali ke Mesir untuk menyusun semula strategi. Tetapi jika mereka kalah di
dalam bumi Mesir, mereka tidak mempunyai peluang tersebut. Sebaliknya Tatar
dengan mudah dapat terus menerobos ke Kaherah, ibu negara Mesir.
c. Tentera
Islam mesti melakukan kejutan ke atas musuh dengan cara mereka yang menentukan
tempat dan masa untuk berperang. Dengan itu mereka berada dalam keadaan cukup
bersedia untuk berperang dalam keadaan musuh tidak bersedia sepenuhnya.
d. Mesir
bertanggungjawab bukan sahaja ke atas keselamatan Mesir tetapi juga ke atas
keselamatan bumi-bumi Islam yang lain. Jihad mempertahankan negara Islam yang
dijajah adalah fardhu ke atas negara jiran jika negara yang dijajah itu tidak
mampu mempertahankan dirinya.
e. Umat Islam
mempunyai kewajipan untuk menyerang dan membuka negara Tatar lalu menawarkan kepada
mereka samada Islam atau jizyah. Apatah lagi jika sekiranya tentera Tatar
berada di bumi Islam, kewajipan untuk membuka yang dijajah oleh Tatar tersebut
lebih wajib lagi dari menyerang negara Tatar sendiri.
Setelah
perbincangan yang panjang, akhirnya keputusan diambil bersama. Tentera Islam
akan bergerak menuju ke bumi Palestin dan menyerang Tatar di situ.
Perjanjian Damai Islam – Salib di Akka
Untuk sampai
ke tempat yang sesuai dijadikan medan perang di Palestin, tentera Islam
terpaksa melalui bandar Akka. Bandar Akka pada ketika itu masih lagi di bawah
jajahan tentera Salib sejak tahun 492 H. Mereka telah berada di Akka selama 166
tahun. Terdapat generasi tentera Salib di bandar tersebut.
Tentera Salib
berada dalam keadaan yang cukup lemah di Akka. Kelemahan ini hasil dari
keletihan peperangan yang mereka terpaksa hadapi dari tentera Salehudin Ayyubi
sebelum ini. Pembebasan Quds berlaku pada tahun 643 H. Peperangan Mansurah
berlaku pada tahun 648 H. Selepas peperangan tersebut, ramai tentera Salib yang
dijadikan tawanan termasuk King Louis IX, Raja Perancis.
Walau pun
begitu, untuk membebaskan Akka dari tentera Salib tidaklah semudah yang
disangkakan. Benteng terkuat tentera Salib adalah di Akka. Banyak cubaan
termasuk cubaan oleh Salehudin al-Ayyubi untuk membebaskan Akka menemui
kegagalan sebelum ini. Ini termasuk kemungkinan akan berlaku sekali lagi
persepakatan di antara tentera Tatar dan tentera Salib yang akan menguatkan
kembali Akka.
Langkah yang
diambil oleh Qutuz adalah melakukan perjanjian damai sementara dengan
pemerintah Salib di Akka. Perjanjian damai ini akan berakhir apabila peperangan
menentang Tatar selesai. Langkah ini diambil oleh Qutuz di atas beberapa
pertimbangan:
a. Memerangi
tentera Salib dan tentera Tatar serentak akan menghilangkan tumpuan tentera
Islam dan melemahkan mereka.
b. Tatar
adalah masalah utama ketika itu
Qutuz
menghantar utusannya untuk menawarkan perjanjian damai. Beberapa syarat
diberikan oleh Qutuz kepada tentera Salib yang menunjukkan bahawa Islam
sebenarnya berada di posisi kuat ketika melakukan perjanjian dan bukan di
posisi lemah. Ia tidak boleh disamakan dengan perjanjian yang berlaku di antara
sebahagian pihak yang mewakili Palestin sekarang dengan Yahudi penjajah.
Wakil Qutuz
menawarkan kepada penduduk Akka keamanan. Mereka juga menawarkan akan menjual
kuda-kuda tentera Tatar dengan harga yang murah kepada penduduk Akka jika
mereka berjaya menjatuhkan Tatar. Tawaran ini amat menarik bagi penduduk Akka
yang sememangnya kekurangan kuda. Kuda-kuda Tatar terkenal di zaman itu sebagai
kuda yang kuat.
Tetapi di
masa yang sama, wakil Qutuz mengenakan syarat bahawa Akka perlu memberikan
bantuan makanan dan apa-apa yang diperlukan oleh tentera Islam sepanjang mereka
berada di Palestin. Wakil Qutuz juga memberikan amaran keras kepada tentera
Salib di Akka bahawa jika berlaku sebarang pengkhianatan di pihak tentera
Salib, tentera Islam akan meninggalkan peperangan melawan Tatar dan menumpukan
sepenuh tenaga mereka kepada tentera Salib sehingga Akka berjaya dibebaskan.
Di pihak
tentera Salib, mereka sebenarnya tidak mempunyai pilihan yang lebih baik dari
menerima tawaran tersebut. Menolak tawaran perjanjian damai akan menaikkan
kemarahan tentera Islam dan kemungkinan akan membawa kepada kejatuhan Akka.
Dengan itu Akka dengan segera menerima perjanjian damai sementara itu.
Laluan Qutuz
dan tentera Islam ke Palestin untuk berhadapan dengan Tatar kini terbuka.
Pembersihan Saff Muslimin
Kini
peperangan benar-benar berada di ambang mata. Ia benar-benar akan berlaku.
Kejutan berlaku kepada sebahagian tentera yang pada awalnya menyangka bahawa
usaha Qutuz tersebut hanyalah kempen menaikkan semangat. Ketakutan menyelubungi
mereka kerana Tatar adalah kekuatan gila yang tidak pernah dikalahkan. Tentera
Salib tidak segila itu. Bahkan pada zaman itu meniti dari mulut ke mulut satu
mitos yang diterima oleh semua orang pada masa itu ‘jika kamu mendengar Tatar
dikalahkan, jangan percaya’.
Mereka lari
meninggalkan tentera Islam. Sebahagiannya lari ke bumi Hijaz. Ada yang lari ke
Yaman. Ada juga yang lari jauh sehingga ke Morocco. Hasil dari itu tentera
Islam benar-benar bersih dari jiwa-jiwa yang kotor. Yang turut berperang adalah
mereka yang benar-benar jelas matlamatnya, kuat dan berani menanggung segala
risiko. Mereka bersedia untuk syahid di jalan Allah.
Saff muslimin
berada di kemuncak persiapan. Segala-galanya telah disiapkan oleh Qutuz, Raja
yang menyerahkan kehidupannya untuk agama Allah. Usaha yang bermula dari Zulkaedah
657 H sehingga ke Sya’ban 658 H itu (tidak sampai 10 bulan) telah benar-benar
membuahkan hasilnya.
Kini tentera
Islam sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi Tatar.
Sya’ban 658 H: Ke Bumi Palestin Untuk Menumbangkan
Tatar
Pergerakan
tentera Islam bermula pada bulan Sya’ban 658 H. Ia bersamaan bulan Julai 1260
M. Bulan Julai adalah musim panas. Merentasi padang pasir di dalam musim panas
bukanlah suatu yang mudah. Ditambah pula mereka akan menghampiri bulan
Ramadhan. Tetapi Qutuz tidak menangguhkan langsung operasi tersebut.
Tentera Islam
dilatih di Kaherah, Asyut, Iskandariah dan Dimyat. Daripada kem-kem latihan
tersebut mereka berkumpul di Solehiah yang terletak di Syarqiah, Mesir sekarang
ini. Dari situ mereka bergerak ke sebelah timur dan kemudian naik ke utara
menuju ke Arisyh. Itulah bandar pertama mereka berteduh setelah merentasi
padang pasir dari Solehiah. Dari Arisyh mereka menuju ke Gaza yang berada di
bawah penguasaan Tatar.
Qutuz telah
membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama agak kecil jika
dibandingkan dengan kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini diketuai oleh panglima
Islam yang hebat, Ruknuddin Baibras. Kumpulan ini berjalan terpisah agak jauh
dari kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini berjalan menzahirkan dirinya manakala
kumpulan kedua berjalan dengan perlahan dan menyembunyikan diri. Ini adalah
antara taktik perang yang dilakukan oleh Qutuz untuk mengelabui mata musuh agar
musuh silap di dalam menghitung kekuatan tentera Islam.
Kemenangan di Gaza
Pada 26 Julai
1260 M, Baibras sudah berjaya melepasi sempadan Mesir – Palestin. Dia berjaya
melepasi Rafah, Khan Yunus dan Dir Balah. Kini dia berada terlalu hampir dengan
bandar Gaza.
Perisikan
Tatar berjaya mengesan kemaraan tentera Baibras. Mereka menyangka bahawa
pasukan itu adalah keseluruhan tentera Islam tanpa mengetahui tentang kewujudan
pasukan kedua tentera Islam yang berada jauh dari Gaza. Berita tersebut sampai
kepada tentera Tatar. Ketika itu tentera utama Tatar di bawah pimpinan Katabgha
masih lagi jauh dari Gaza. Mereka berada di bumi Lubnan, 300 kilometer dari
Gaza. Dengan itu mereka menghantar satu pasukan yang tidak begitu besar untuk
menghadapi tentera Islam.
Berlakulah
pertembungan di antara dua pasukan tersebut. Kali pertama setelah puluhan tahun,
tentera Islam menang di dalam pertembungan melawan Tatar. Terbunuh di dalam
peperangan tersebut sebahagian tentera Tatar. Tentera yang terselamat melarikan
diri menyampaikan berita tersebut kepada Katabgha.
Marah
bercampur terkejut. Itulah reaksi Katabgha dan tentera Tatar ketika mendengar
berita kekalahan mereka. Sebelum ini mereka sudah terbiasa membunuh orang Islam
tanpa mendapat tentangan sengit. Mereka juga sudah terbiasa dengan beberapa
Raja Islam yang menghinakan diri memohon perdamaian dari mereka. Di luar
jangkaan mereka, masih ada lagi tentera Islam yang berani melawan mereka dan
mampu mengalahkan mereka. Ini adalah pengalaman baru bagi Tatar.
Di pihak
tentera Islam, kemenangan itu menaikkan semangat mereka untuk terus berjihad.
Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya mereka akan terus ke hadapan
sehingga ke kehancuran Tatar.
Pemilihan Lokasi Peperangan: Ain Jalut
Tentera Islam
terus bergerak dari Gaza melepasi Asqalan dan Yafa. Dari situ mereka singgah
sebentar di Akka dan berjumpa dengan pimpinan tentera Salib di Akka untuk
memastikan perjanjian masih lagi dipatuhi oleh mereka.
Seterusnya
Qutuz dan tentera Islam bergerak meninggalkan Akka menuju ke Ain Jalut. Di
manakah Ain Jalut?
Ain Jalut
terletak tidak jauh dari perkhemahan Janin sekarang ini. Ia terletak di antara
bandar Bisan dan Nablus. Ia terletak 65 kilometer dari Hittin, medan peperangan
Hittin yang berlaku pada tahun 583 H. Ia terletak 6o kilometer dari Yarmuk,
medan peperangan Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak
mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.
Ia dipilih
kerana ia adalah kawasan lapang yang luas dan dikelilingi oleh bukit kecuali di
bahagian utaranya. Bukit-bukit tersebut dipenuhi pokok-pokok yang memudahkan
tentera Islam untuk bersembunyi. Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras
diletakkan di bahagian utara sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik
pokok.
Semua berada
dalam keadaan bersedia menanti kedatangan Katabgha dan tentera Tatar.
24 Ramadhan 658 H
Ketika Qutuz
dan tentera Islam sudah pun berada di bumi Ain Jalut, datang sejumlah
sukarelawan dari Palestin. Sebelum ini mereka menyembunyikan diri dari medan
peperangan. Kesungguhan Qutuz dan qudwah yang ditunjukkan oleh beliau telah
menghilangkan ketakutan mereka.
Di samping
itu, medan Ain Jalut juga mula dipenuhi dengan petani-petani, kanak-kanak dan
wanita. Sebahagiannya ada yang telah tua dan uzur. Kesemuanya keluar untuk
memberikan bantuan dalam bentuk yang mereka mampu. Qutuz benar-benar berjaya
menggerakkan umat Islam kembali ke medan jihad.
Di hari yang
sama, datang seorang utusan kepada tentera Islam dan memohon untuk bertemu
dengan Qutuz. Dia memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sorimuddin Aibak,
seorang muslim yang dijadikan tawanan Tatar dan dipaksa berkhidmat untuk
tentera Tatar. Wakil tersebut berkata bahawa dia membawa beberapa pesanan dari
Sorimuddin Aibak untuk disampaikan kepada Qutuz.
Pesanan
tersebut adalah beberapa maklumat penting untuk tentera Islam:
a. Tentera
Tatar tidak lagi sekuat sebelum ini. Holago telah membawa sebahagian tentera
dan panglima perangnya ke Tibriz, Iran. Kekuatan mereka tidak lagi sekuat
ketika mereka menakluk Syam.
b. Bahagian
kanan tentera Tatar lebih kuat dari bahagian kiri mereka. Dengan itu tentera
Islam hendaklah menguatkan bahagian kiri mereka untuk menghadapi bahagian kanan
tersebut.
c. Asyraf
al-Ayubi, Raja Hims yang sekarang ini bersama tentera Tatar ingin kembali ke
pangkuan tentera Islam. Mereka akan melakukan tipu helah agar tentera Tatar
yang bersama mereka dapat dikalahkan.
Maklumat ini
diterima oleh Qutuz dengan penuh hati-hati, bimbang jika sekiranya ia adalah
sebahagian dari taktik dan tipu daya Tatar.
Semua ini
berlaku pada siang 24 Ramadhan 658 H di Ain Jalut.
Pada malamnya
Qutuz dan tentera Islam melakukan tahajud dan memohon dari Allah kemenangan
tentera Islam dalam pertempuran esok hari. Malam itu adalah malam 25 Ramadhan
dan kemungkinan ia adalah malam Lailatul Qadar. Mereka menghabiskan malam
mereka dengan tahajud dan doa serta menyerahkan diri kepada Allah. Moga-moga
Allah menerima mereka sebagai hambaNya dan memberikan kemuliaan kemenangan atau
syahid di medan pertempuran esok hari.
Moga-moga
esok adalah hari di mana mereka boleh menebus semula kematian jutaan umat Islam
di tangan Tatar.
25 Ramadhan 658 H
Fajar
menyinsing tiba. Hari yang dinantikan oleh tentera Islam dan muslimin yang
bersama dengan mereka sudah menjelma. Hari itu adalah hari Jumaat 25 Ramadhan
658 H.
Tentera Tatar
di bawah pimpinan Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di
sebalik pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga
di sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika
tentera Tatar tiba.
Qutuz
memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara
berperingkat, satu katibah demi satu katibah.
Ketika
katibah pertama turun dari bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan
tentera Tatar menjerit ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian
berbelang putih dan merah. Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik.
Mereka turun dalam keadaan tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.
Katabgha
bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab:
“Inilah katibah Sanqar ar-Rumi.”
Kemudian
turun pula katibah kedua. Katibah ini memakai pakaian berwarna kuning dan
membawa senjata yang berhias indah. Mereka juga turun dalam keadaan tersusun,
pergerakan yang sama dan seimbang.
Katabgha
bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab:
“Inilah katibah Balban ar-Rasyidi.”
Kemudian
turun pula katibah seterusnya dengan memakai pakaian berwarna lain. Setiap kali
katibah baru turun, Katabgha akan bertanya kepada Sorimuddin: “Pasukan apakah
ini?” Sorimuddin yang tidak mengetahui keseluruhan nama-nama katibah Mamalik
mula mereka-reka nama tertentu untuk menambahkan ketakutan Katabgha.
Tentera
Mamalik terpecah kepada banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna
tertentu yang membezakannya dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan
warna yang sama. Begitu dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di
Mesir. Semuanya akan diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.
Semua katibah
ini adalah sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera
yang masih lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz.
Gendang mula
dimainkan oleh pasukan gendang tentera Islam. Sudah menjadi kebiasaan tentera
Mamalik, mereka akan meletakkan satu pasukan gendang di medan perang. Mereka
memainkan rentak yang akan memberikan isyarat tertentu kepada tentera
Mamalik.Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamalik. Setiap
pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut.
Pasukan
Baibras sudah berada hampir dengan tentera Katabgha. Peperangan sudah semakin
hampir.
Serangan Pertama: Bermula Peperangan
Bermulalah
pertempuran. Katabgha yang menyangka bahawa pasukan Baibras yang kecil itu
adalah keseluruhan tentera Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk
masuk ke medan pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat.
Baibras dan
tenteranya berdiri tenang di tempat masing-masing menantikan kemaraan tentera
Tatar yang berjumlah berkali ganda dari bilangan pasukan mereka. Apabila
tentera Tatar sudah hampir kepada mereka, Baibras memberikan isyarat kepada
tenteranya untuk merempuh ke depan.
Pedang
bertemu pedang, gendang dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan
dengan takbir dari petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula
mengalir. Satu demi satu nyawa melayang. Walau pun begitu, Baibras dengan
bilangan tentera yang sedikit mampu bertahan sehingga ke saat itu. Ketakutan
mula meresap masuk ke dalam diri tentera Tatar. Belum pernah mereka menghadapi
kekuatan sedemikian.
Pemilihan
Qutuz sememangnya tepat. Panglima-panglima perang yang dipilih untuk bertembung
di peringkat awal dengan Tatar dan menghabiskan tenaga Tatar adalah panglima
perang Mamalik terbaik. Mereka adalah panglima yang terlibat sekali di dalam
mengukir kemenangan di dalam peperangan Mansurah menentang tentera Salib
pimpinan Louis IX. Mereka memiliki kemahiran perang yang tinggi.
Qutuz dan
baki tentera masih lagi menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan
peperangan tersebut dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.
Serangan Kedua: Mengepung Tentera Tatar
Masanya sudah
tiba untuk Qutuz memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras
dan tenteranya berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini
adalah taktik yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan
Nahawand ketika tentera Islam di zaman Saidina Omar r.a. membuka Parsi. Taktik
ini digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke
tengah-tengah medan peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang
kita ketahui medan Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya kecuali di bahagian
utara. Kepungan itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya
menarik tentera Tatar ke tengah medan.
Ia bukanlah
taktik yang mudah. Ia memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan
menyebabkan musuh menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan
kematian tentera Islam.
Qutuz
memberikan arahan kepada pasukan gendang untuk memberikan arahan baru ini.
Baibras memahami rentak gendang tersebut. Tanpa berlengah dia dan tenteranya
mula berundur ke belakang sedkiit demi sedikit dengan penuh hati-hati. Mereka
berpura-pura menzahirkan keletihan dan kelemahan mereka.
Katabgha
tertipu. Dia mengarahkan seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang
tanpa menyedari taktik tersebut. Ini adalah satu yang cukup pelik berlaku
kepada beliau. Katabgha adalah panglima perang Tatar yang mahir. Menjadi
panglima perang sejak zaman Genghis Khan. Ketika peperangan Ain Jalut, beliau
berusia lebih 60 tahun atau mungkin lebih 70 tahun. Satu usia yang memberikan
pengalaman yang tidak sedikit berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu.
Tetapi Allah mengatur segala-galanya.
Taktik ini
berjaya. Tentera Tatar telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera
Islam muncul, Katabgha menyedari kesilapannya. Di sini tidak ada jalan lain
bagi mereka kecuali terus berperang mati-matian. Mereka nampak kematian semakin
menghampiri mereka.
Serangan Ketiga: Kekuatan Bahagian Kanan Tatar
Katabgha
memberikan arahan agar semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka
seolah-olah mengamuk dan mengasak tentera Islam. Di sini terbukti kebenaran apa
yang dikatakan oleh wakil Sorimuddin Aibak berkenaan kekuatan bahagian kanan
tentera Tatar. Bahagian kiri tentera Islam telah diasak dengan dahsyat oleh
mereka. Gugur di kalangan tentera Islam seorang demi seorang sebagai syahid.
Qutuz yang
melihat dari atas bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam.
Langkah yang diambil oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi
besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’. Laungan ini diucapkan oleh beliau
sambil beliau turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini
diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam.
Tentera Tatar
terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz
memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung
sayangkan nyawanya. Beberapa libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau.
Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh.
Pun begitu beliau meneruskan jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau
berjaya mendapatkan kuda bantuan.
Seorang
pembesar istana menjerit dan mencelanya kerana lambat menaiki kuda. Beliau
bimbangkan Qutuz terbunuh lalu dengan itu akan kalahlah tentera Islam. Tetapi
Qutuz menjawab: “Ada pun diriku, sesungguhnya ia sedang menuju surga. Ada pun
Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”
Tentera Islam
bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.
Kematian Katabgha
Dibunuh oleh
Jamaludin Aqusy as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik.
Pernah berada di bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya
setelah melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al-Ayyubi.
Beliau
merempuh tentera Tatar sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera
tersebut. Di situ beliau melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau
mengumpulkan seluruh tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha.
Kepala Katabgha berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di
hadapan tentera Tatar.
Ketakutan
makin meningkat melihat kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Tatar
mula melarikan diri melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar
mereka.
Pertembungan Akhir di Bisan dan Berakhirnya Kekuatan
Tatar
Tentera Tatar
berjaya memecahkan kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri sejauh 20 kilometer
dan berhenti di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka.
Berlaku
pertembungan yang lebih sengit. Kali ini tentera Tatar benar-benar menggila
untuk memastikan mereka terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan
peperangan memberikan semangat kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa
Islaamah. Wa Islaamah. Wa Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk
menghancurkan Tatar.”
Akhirnya
kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos
bahawa Tatar tidak akan dikalahkan bila-bila.
Medan
peperangan kembali sunyi. Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan
Tatar. Tidak ada lagi takbir para petani. Tidak ada lagi bunyi libasan pedang.
Mayat-mayat tentera Tatar mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan.
Qutuz berjalan di tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan
selama sehari di bulan Ramadhan.
Kesudahan Yang Baik Buat Raja Yang Hebat
Qutuz sujud
ke bumi mensyukuri kemenangan tersebut. Beliau dan tenteranya berjaya membunuh
kesemua tentera Tatar. Ya! Kesemuanya. Tidak ada seorang pun dari tentera Tatar
yang berjaya melepaskan diri mereka hidup-hidup. Semuanya mati dibunuh oleh
tentera Islam di dalam peperangan yang cukup hebat ini.
Maruah umat
Islam berjaya dikembalikan. Kematian jutaan umat Islam berjaya dibalas oleh
Qutuz. Sememangnya beliau seorang pemimpin hebat yang berjaya mencipta satu
sejarah untuk dibanggakan oleh umat Islam sepanjang zaman. 10 bulan sudah cukup
bagi Qutuz untuk menjatuhkan Tatar yang bermaharajalela di bumi Islam selama
lebih 40 tahun.
Semua itu
berlaku pada hari ini, 25 Ramadhan.
Moga pahlawan
seperti Qutuz akan ada penggantinya. Aamin.