Salahuddin Al-Ayyubi – Perang
Salib
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang
Kurd biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di
samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka
sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini
suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah
Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat
sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari
ini.
Stanley Lane Poole seorang penulis Barat
menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan
daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan
menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang
mulia.
Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya
untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan
memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi
tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir.
Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung
di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan
orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234). Tetapi itulah
sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba
berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu
tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak
bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa
Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan
kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan
syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala
kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole (1914) telah menuliskan
bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah
wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan
corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi
contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan
iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir
dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah
menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku.
Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah
menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad
di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang
berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad
menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan
seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid
dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya
berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia
lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak
keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat
kepercayaannya.
Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat
melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan
menumoukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat
tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang
kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari
satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya
supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke
seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya
bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun
selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa
Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin
kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin,
1234)
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku
antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki
bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk.
Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di
tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain yang
dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa
orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi
telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha dapat dilihat seorang
tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri
diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun
seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan
kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan
30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan,
timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada
Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan
Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah
di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah
khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka
dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.
Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan
Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya.
Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia
menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat
atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald.
Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia
mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin
tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang
raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala
batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban
Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat
kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang
dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu
supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan,
"Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu".
Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan
tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Maqdis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan
mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Maqdis. Bahauddin telah
mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan Baitul
Maqdis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam
hatinya.
Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari
Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah s.a.w
naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas
kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan
orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai
lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria
datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua
pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada
tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini
sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib yang
terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini
tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa
peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli
sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan
hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan
yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang
Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan
di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran
orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul
Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud
untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin
telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri
besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan
pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu
membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari
pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin
kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula
tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada
tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred
menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan
dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah
yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara
beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih
sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasib baik orang-orang Kristian
apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan
Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup
membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di
zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin
kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah
dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di
mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan.
Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka
bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan
panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman,
Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari
Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang
Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya
serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan
Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga
menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak
bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini
mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra
diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib
ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjajian ini sebagai
berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan
besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di
dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September,
1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke
Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun
sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas
seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England,
Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan
beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra
Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan
Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan
sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi
Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh
kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga
tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan
peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru
untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh
di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi
ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf,
tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan
yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan
kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds,
Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja.
Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat
menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187
hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini
Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat
keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan
Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih
berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama
sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya,
sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan
setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat
keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau
apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan
ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Salahuddin Meninggal Dunia
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah
Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam
pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari
selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar
seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia
nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada
malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu
Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an.
Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au
Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang
mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka
matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata,
"Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun
kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak
meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada
rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang
ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos
pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos
pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
No comments:
Post a Comment