Sejarah Islam : Pemerintahan Sultan Muhammad Al Fatih
Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “Constantinople
(kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik
raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera” (Hadis riwayat Imam Ahmad). Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan
penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau
bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya,
5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2
kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang
sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan
dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri.
Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,
“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan
mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.
Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh
Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang
tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan
tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera”
di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di
Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup
Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana
telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga
dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan
Constantinople. Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30
tahun (855 – 886H / 451 – 1481M). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan
panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda
mangkat pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 bersamaan dengan 3 Mei 1481 kerana
sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang
keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda
diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh
panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung
di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,
Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan,
sains, matematik. Di dalam bidang Ilmu politik pula, ayahandanya, Sultan Murad
II, ketika memencilkan diri di Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru
berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Ia bertujuan untuk mendidik bagina
dalam usia yang sebitu muda. Walaupun begitu baginda telah matang menangani
tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN
Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan
dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak
dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang
Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan
di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan
tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis. Baginda sentiasa bersifat tawaduk dan rendah diri. Semasa membina
Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan
pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan
kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu
berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN
CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga
mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan
panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam
besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli
Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota
Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Bosphorus adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan
bahagian Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini
sepanjang 30 kilometer, dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan
minimum 750 meter antara Anadoluhisar dan Rumelihisar. Kedalamannya antara 36
hingga 124 meter. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah
Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini
mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai
dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan
Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang
bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu
Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah.
Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang
pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS
CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
MENARA BERGERAK
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih
tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera
Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding
tengah kubu mereka.
BANTUAN DARI POPE VATICAN
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan
senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi
untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula semangat
tentera Byzantin.
PERANG DARI PUNCAK GUNUNG
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan
dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn.
Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung
dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini
diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di
dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil
dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam
Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil
kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta
mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada
Allah swt.
MEMANJAT DAN MELASTIK DINDING
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu
dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit
pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya
berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
KARISMA SEORANG PEMIMPIN
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah
menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat
yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku,
aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai
sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh
lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah
dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus
menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
PENAWANAN CONTANTINOPLE
Pada 20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke
tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) .
Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan
tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak
peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana
kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK
TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa
yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk
dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga
sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada
seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini
pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada
tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh
hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila
duduk!”.
Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri.
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat
Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali.
Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW di
dalam hadisnya itu.
INGATAN
Memikirkan tentang kehebatan al-Fateh dan tenteranya… suatu ketika,
dalam perjalanan menuju ke Constantinople, tentera al-Fateh melalui sebuah
kebun anggur yang besar dan buahnya sedang masak ranum. Namun, sebelum melalui
kebun tersebut, al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya jangan diambil
anggur itu walaupun sebiji.
Perjalanan diteruskan hingga sampai di suatu tempat, mereka berehat.
Setelah didirikan khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah
dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul. Para tentera
diberitahu bahawa al-Fateh telah jatuh sakit. Setelah diteliti oleh tabib, ubat
yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia bertanya kepada seluruh tentera,
siapa yang mempunyai buah anggur, kerana jika tidak, mungkin al-Fateh akan
terus sakit dan mati. Malangnya, tiada seorang pun tenteranya mempunyai buah
anggur. Lalu tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat dari segi
fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari tenteranya
yang mengingkari perintahnya. Maka keluarlah al-Fateh dr khemah, dan memuji
tenteranya dan menerangkan kepda mereka maksud sebenar.
Mampukah tentera kita menyaingi kehebatan tentera Islam di zaman
al-Fateh?
No comments:
Post a Comment