Wednesday, 15 October 2014

Sejarah Islam : Sultan Saifudin Muzaffar Al-Qutuz

Sejarah Islam : Pemerintahan Sultan Saifudin Muzaffar Al-Qutuz

Nama beliau ialah Qutuz bin Abdullah al-Mu’izzi Saifuddin. Tidak diketahui tarikh kelahirannya adapun tarikh wafatnya pada tahun 658h bersamaan 1260m. Dikatakan namanya Mahmud bin Mamdud. Ibunya adalah saudara perempuan kepada Sultan Jalaluddin Khawarizmshah dan bapanya anak kepada bapa saudara sebelah bapa Sultan Jalaluddin. Beliau telah ditawan ketika serangan Mongol lalu dijual di Damsyiq dan kemudiannya berpindah ke Kaherah. Beliau merupakan hamba kepada seorang peniaga.

Qutuz merupakan seorang pemuda yang berambut perang, berjanggut panjang dan bertubuh tegap. Beliau merupakan seorang yang soleh, kuat mendirikan solat berjemaah dan tidak pernah mengambil arak. Beliau merupakan salah seorang daripada Mamalik Bahriah. Merupakan tentera Mamalik yang paling berani. Beliau adalah terkenal sebagai seorang panglima, sangat berani, mahir dalam politik, kuat agama dan suka kepada rakyat.

Qutuz merupakan Sultan Mamalik selepas Aybak yang dikenali sebagai Sultan al-muiz Izzuddin Aybak al-Jasyinker at-Turkumani as-Salihi dan anaknya Ali yang digelar Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Aybak. Selepas menjadi sultan, Qutuz digelar Sultan al-Muzaffar atau nama penuhnya Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz.

Sehingga zaman beliau, Mamalik dikuasai oleh Syaratuddur, Sultan Aybak, Sultan Ali dan Sultan Qutuz sendiri. Kerajaan Mamalik bermula tahun 648H. Sultan al-Muiz Aybak menjawat jawatan Sultan Mamalik sehingga 655H. Kemudian Sultan Ali sehingga tahun 657H sehinggalah perlantikan Sultan Qutuz yang menjadi sultan hanya setahun antara 657-658H. Bukan semua golongan Mamalik ini merujuk kepada hamba yang dijual kerana ada di kalangan mereka adalah kumpulan daripada bangsa Turki yang lari daripada serangan Mongol. Mereka melarikan diri dan berkhidmat di bawah sultan-sultan Mesir.

Dalam tempoh yang singkat muncul daripada kalangan mereka ini generasi baru yang yang mampu menjawat beberapa jawatan. Di antara mereka inilah Sultan Qutuz yang merupakan keturunan raja yang sampai kepada Raja Khawarizm Shah. Beliau dibunuh oleh pembesarnya antara al-Ghurabi dan As-salihiah pada 16 Zulkaedah tahun 658 hijrah dan tidak sampai setahun menjadi sultan Mamalik ketika pulang ke Mesir sekembali daripada peperangan Ain Jalut setelah menewaskan Mongol.

Dikatakan ketika beliau ingin kembali ke Mesir telah dihadang oleh panglima tenteranya Bybaras dan sekumpulan besar pemimpin tenteranya lalu membunuhnya. Selepas iti beliau dikebumikan di al-Qasir dan kemudian dipindahkan ke Kaherah. Sultan Mamalik selepasnya ialah Sultan Ruknuddin az-Zahir Baybaras.

Peperangan Ain Jalut

Peristiwa ini berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 H di Ain Jalut dan Bisan, Palestin. Medan pertempuran tersebut terletak tidak jauh dari bandar al-Quds.

Ia adalah satu peperangan yang berjaya menebus kembali maruah umat Islam setelah dikalahkan oleh tentera Tatar di dalam peristiwa siri-siri serangan Tatar ke atas bumi Islam. Panglima yang berjaya mengembalikan kemuliaan umat ini adalah Saifudin Qutuz, salah seorang panglima Islam yang hebat. Kehebatan Qutuz dan kepentingan peperangan Ain Jalut hanya akan dapat dirasai jika kita dapat menyelami penderitaan umat hasil dari serangan Tatar ke atas umat Islam.

Kemaraan Tatar ke Negara Islam (617 H dan 628 H)

Serangan Tatar ke atas umat Islam di bawah pimpinan kerajaan Abbasiah sebenarnya tidak berlaku hanya pada tahun 656 H di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad. Sebaliknya sebelum itu sudah pun ada dua siri serangan Tatar iaitu pada tahun 617 H dan 628 H.

Serangan pertama Tatar ke atas umat Islam berlaku pada tahun 617 H – 620 H di bawah pimpinan Genghis Khan. Serangan kali pertama ini mempunyai sebabnya yang diperselisihkan oleh ahli sejarah Islam. Apa pun puncanya, Dr. Raghib as-Sarjani lebih cenderung untuk mengatakan bahawa niat untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian lama.

Oleh kerana jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan pertamanya pada kali ini ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Tatar untuk siri-siri serangan yang seterusnya.

Serangan pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di tengah-tengah kerajaan Islam.

Serangan kedua Tatar ke atas umat Islam pula berlaku pada tahun 628 H. Pada tahun 624 H, Genghis Khan telah digantikan oleh seorang lagi raja Tatar yang tidak kurang bengisnya iaitu Okitai. Kerajaan Tatardi Mongolia dan China pada masa itu berada dalam keadaan stabil dan kuat. Keadaan ini memberikan banyak kelebihan kepada Okitai.

Lalu bermulalah serangan kedua Tatar ke atas umat Islam sebagai menyambung serangan yang pertama di zaman Genghis Khan. Serangan pada kali ini ditumpukan di sekitar bumi Rusia dan Eropah. Okitai melantik panglima perangnya, Syurmajan untuk mengepalai serangan pada kali ini.

Suasana bertambah buruk pada serangan kedua ini kerana pimpinan Islam pada masa itu berada dalam keadaan berpecah belah. Manakala sebahagian umat pula telah mula menunjukkan sikap pengecutnya dan tidak berani untuk melancarkan jihad. Ibnu al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang didengarinya daripada sebahagian umat Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan kedua ini. Di antaranya:

a. Seorang tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat tentangan dari sesiapa pun.

b. Seorang tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.

c. Tentera Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.

Serangan Ketiga (656 H) dan Kejatuhan Baghdad

Kerajaan Tatar pada masa ini dipecahkan kepada tiga wilayah utama. Sebahagian ahli sejarah menamakannya ‘segitiga emas’. Raja Tatar pada masa ini adalah Manku Khan, seorang lagi Raja Tatar yang berjiwa keras dan mempunyai keazaman yang kuat. Beliau mentadbir ibu negara kerajaan Tatar, Qaraquram dengan dibantu oleh adiknya Ariq Bufa. Seorang lagi adiknya iaitu Qublai pula mentadbir jajahan Tatar di sebelah Timur (meliputi China, Korea dan bumi sekitarnya). Manakala jajahan Tatar di sebelah Iran dan bumi sekitarnya diserahkan kepada adiknya Holago, nama yang tidak asing bagi umat Islam.

Manku Khan ingin meneruskan misi Tatar yang seterusnya iaitu menjatuhkan kota Baghdad dan menyerang bumi Syam (Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan) dan Mesir. Tugas ini telah disandarkan kepada Holago, pahlawan Tatar yang mabukkan darah manusia dan dianggap sebagai jelmaan Genghis Khan. Dr. Raghib Sarjani menganggapnya sebagai manusia paling ganas sepanjang sejarah dunia. Kejahatannya itu makin bertambah setelah beliau berkahwin dengan Taqazkhatun, permaisuri Mongolia beragama Kristian yang amat membenci umat Islam.

Oleh kerana Baghdad adalah ibu negara kerajaan Islam Abbasiah, persiapan yang dilakukan oleh Holago dalam serangan ini agak teliti dan kemas. Tentera Tatar telah dipecahkan kepada tiga kumpulan dan datang dari tiga arah yang berlainan.

a. Pasukan pertama dipimpin oleh Holago sendiri. Ia dibantu oleh tentera elit Tatar dibawah pimpinan Bato. Misi pasukan pertama ini adalah mengepung bahagian timur kota Baghdad.

b. Pasukan kedua dipimpin oleh Katabgha, pahlawan Holago yang terbaik. Tugas pasukan ini adalah mengepung bahagian tenggara kota Baghdad. Katabgha jugalah yang memimpin tentera Tatar menentang Qutuz di dalam peperangan Ain Jalut.

c. Pasukan ketiga pula dipimpin oleh Bigo. Pasukan ketiga ini adalah tentera yang menjaga sempadan Anadol (sekarang di Turki). Tugas pasukan ini adalah untuk mendatangi Baghdad dari arah utara dan seterusnya mengepung bahagian barat kota Baghdad.

Ketelitian perancangan Holago boleh dilihat dari beberapa sudut:

a. Pasukan pertama dan kedua datang dari jarak 450 kilometer sebelum kota Baghdad. Walau pun begitu Holago berjaya mengaburi mata kerajaan Abbasiah sehinggakan tentera kerajaan Abbasiah hanya mengetahui kedatangan tentera itu ketika mereka hanya beberapa kilometer dari kota Baghdad.

b. Pasukan ketiga pula datang dari jarak 1,000 kilometer sebelum kota Baghdad. Tetapi pasukan ini berjaya sampai tepat pada masa yang dijanjikan untuk bergabung dengan kedua-dua pasukan yang lain.

c. Pasukan ketiga terpaksa merentasi 1,000 km perjalanan di bumi Turki dan Iraq (kedua-duanya adalah bumi Islam). Perjalanan ini akan merentasi perkampungan Islam dan kemungkinan terpaksa berhadapan dengan pertempuran awal. Amat menakjubkan apabila mereka berjaya berjalan tanpa disedari oleh orang Islam kecuali setelah mereka berada pada jarak 50 km dari kota Baghdad di sebelah Barat Daya. Kejayaan ini setelah mereka berjaya merasuah Gabenor Anadol, Qalaj Arsalan dan Gabenor Mosul, Badruddin Lu’lu’ sehingga kedua-duanya bertindak mengkhianati umat Islam.

Berlakulah peperangan. Jatuhlah kota Baghdad dengan segala cerita duka di dalamnya. Menurut Abul Hasan Ali an-Nadwi, umat Islam yang terbunuh di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad tersebut adalah 1,800,000 orang. Satu angka yang cukup menakutkan sesiapa sahaja yang cuba membayangkannya. Darah mengalir di jalanan. Buku-buku dicampak ke dalam sungai dan semua itu dianggarkan berjumlah sebanyak dua juta naskhah buku. Ahli sejarah menganggap itu sebagai punca kemunduran umat Islam selepas itu. Semua itu berlaku dalam masa 40 hari.

Kejatuhan Syam

Kejatuhan Baghdad bukan kemuncak bagi penderitaan umat pada ketika itu. Sebaliknya umat semakin menderita dengan sikap sebahagian raja dan ulama’ Islam pada masa itu yang sanggup menggadaikan agama semata-mata untuk mendapat jaminan kehidupan dari Tatar.

Siapakah yang tidak sayu bila melihat sebahagian raja Islam menghulurkan tangan persahabatan dengan Holago sedangkan darah jutaan umat Islam masih lagi belum kering? Raja Mosul, Badruddin Lu’lu’ menghulurkan tangan persahabatan dengan Holago. Begitu juga Kaikawis II dan Qalaj Arsalan, Raja Anadol. Raja Halab dan Damsyik, al-Nasir Yusof juga mengambil langkah sama. Raja-raja itu telah membuka Iraq Utara, sebahagian Syam dan Turki kepada Tatar tanpa peperangan. Tidak cukup setakat itu. Tanggungan umat semakin berat apabila menyaksikan sebahagian ulama’ pada masa itu mengeluarkan fatwa mengharuskan perjanjian damai tersebut dengan hujah-hujah yang amat mengelirukan.

Hanya seorang Raja di daerah tersebut yang mengiklankan jihad. Raja tersebut adalah Al-Kamil Muhammad al-Ayubi, Raja Miyafarqin. Miyafarqin adalah bandar yang terletak sekarang ini timur Turki menuju ke sebelah barat Turki. Tentera Raja Al-Kamil Muhammad al-Ayubi menguasai timur Turki, barat laut Iraq dan timur laut Syria.

Tetapi kegilaan Tatar mengatasi segala-galanya. Bandar Miyafarqin dikepung dan akhirnya jatuh. Begitu juga dengan bandar Halab. Bandar Damsyik juga jatuh. Kemuncaknya adalah penjajahan Tatar ke atas bumi Palestin.

Mesir Bumi Ribat (Benteng Islam)

Ketika Tatar memulakan serangannya ke atas umat Islam, Mesir berada dalam krisis yang amat runcing. Ia berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamalik dan melalui satu pergolakan politik yang amat dahsyat. Kerajaan Mamalik Bahriah (salah satu fasa dalam kerajaan Mamalik) mentadbir Mesir selama 144 tahun. Dalam tempoh tersebut Mesir diperintah oleh 29 orang sultan. Satu jumlah yang banyak untuk pemerintahan selama satu kurun setengah. Daripada 29 orang sultan tersebut, 10 daripadanya mati dibunuh dan 12 daripadanya digulingkan. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan dan kekerasan adalah asas perubahan di dalam kerajaan Mamalik.

Setelah fasa Mamalik Bahriah, menyusul pula fasa Mamalik Muizziah. Pemerintah awal di fasa ini adalah Raja Izzuddin Aibak. Beliau berjaya mengembalikan kestabilan politik kepada Mesir. Tetapi kestabilan itu hanya bertahan selama tujuh tahun. Keadaan kembali kucar kacir selepas pembunuhan beliau dan seterusnya pembunuhan isterinya, Syajarah ad-Dur. Setelah bertukar ganti pemerintah, akhirnya Mesir diperintah oleh Saifuddin Qutuz.

Pembunuhan Raja Izzudin Aibak dan isterinya telah membawa kepada perselisihan di antara Mamalik Bahriah (penyokong kerajaan lama) dan Mamalik Muizziah (kerajaan baru yang diperintah oleh Qutuz) dan ianya masih berterusan di zaman Qutuz. Sebahagian penyokong Mamalik Bahriah mengambil sikap berpindah ke bumi Syam dan lain-lain. Manakala yang tinggal menetap di Mesir mengambil sikap mengasingkan diri. Ini menjadikan Mesir lemah dari sudut pertahanan kerana asas kepada pasukan tentera Mesir adalah penyokong Mamalik Bahriah.

Di masa yang sama, serangan Tatar ke atas bumi Syam telah memutuskan Mesir dan Syam. Tiada perhubungan di antara keduanya. Mesir juga tidak mendapat bantuan dari Sudan dan negara-negara di utara Afrika. Ini menjadikan Mesir seolah-olah keseorangan di tengah-tengah krisis yang berlaku di seluruh negara Islam.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila Mesir juga pada masa itu ditimpa krisis ekonomi. Siri-siri perang Salib yang berlaku sebelum itu telah melumpuhkan ekonomi Mesir. Sebahagian dari lokasi perang salib adalah di bumi Mesir. Tentera Mesir juga adalah tentera yang banyak terlibat di dalam perang salib yang berlaku di tempat lain. Salehudin Ayubi menjadikan Mesir sebagai salah satu benteng pertahanannya.

Disamping sebahagian tentera Salib yang masih ada di bumi Islam, masalah ditambah lagi dengan kedatangan musuh baru Islam iaitu Tatar.

Qutuz, Penyelamat Ummah

Qutuz menaiki tahta Mesir pada 24 Zulqaedah 657 H.

Sebelum beliau menaiki tahta Mesir, Serangan pertama Tatar (617 H), serangan kedua Tatar (628 H) dan kejatuhan Baghdad (656 H) telah pun berlaku dan meninggalkan kesan yang amat parah kepada umat Islam di luar Mesir. Selepas beliau menaiki tahta Mesir pula, Halab jatuh ke tangan Tatar pada Safar 658 H dan Damsyik jatuh pada Rabi’ul Awal 658 H menjadikan keadaan di luar Mesir bertambah gawat. Kejatuhan Palestin keseluruhannya juga berlaku pada masa yang sama. Mesir bersempadan dengan Palestin di sebelah timur Mesir pada bandar Gaza.

Demikianlah kita melihat Qutuz terbeban dengan satu masalah yang cukup berat. Sasaran Tatar seterusnya adalah Mesir sedangkan Mesir tidak bersedia untuk menambah masalah baru disamping masalah-masalah dalaman dan luaran yang sedia ada.

Sikap yang ditunjukkan oleh Qutuz amat membanggakan umat Islam pada ketika itu. Sikap itu terus menerus menjadi punca kepada kehebatannya pada pandangan mata umat sepanjang zaman. Qutuz mengambil keputusan untuk menghadapi Tatar dan tidak akan lari seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam. Dia juga mengambil sikap tidak akan menghulurkan perdamaian kepada Tatar sebagai mana yang menjadi pilihan sebahagian Raja-raja Islam ketika itu.

Tiga Langkah Awal

Qutuz mengambil tiga langkah awal sebelum melancarkan peperangan ke atas Tatar. Ketiga-tiga langkah ini dilihat amat berkesan dan menjadi sumber kekuatan kepada tentera Islam pada ketika itu.

Langkah pertama yang diambil oleh Qutuz adalah mengembalikan kestabilan keadaan dalaman Mesir. Beliau memanggil golongan istana, pembesar-pembesar, menteri-menteri, ulama’-ulama’ dan golongan berpengaruh di dalam masyarakat. Beliau berkata kepada mereka: “Apa yang aku inginkan dari jawatan ini hanyalah agar kita bersatu untuk melawan Tatar. Urusan itu tidak mampu diselesaikan tanpa Raja. Apabila kita berjaya keluar dari masalah ini dan mengalahkan Tatar, urusan ini terletak di tangan kamu semua. Pilihlah sesiapa yang kamu kehendaki untuk menjadi pemerintah.”

Ucapan Qutuz tersebut telah meredakan ketamakan sebahagian dari pembesar yang berniat untuk merampas tahta Mesir dari tangan Qutuz.

Di masa yang sama beliau telah memecat Menteri, Ibnu binti al-A’az dan menggantikannya dengan Zainuddin Ya’kub bin Abd Rafi’. Ini kerana beliau lebih meyakini kesetiaan Zainuddin Ya’kub daripada Ibnu binti al-A’az. Kemudian beliau mengekalkan Farisuddin Aqtai as-Soghir sebagai panglima tentera walau pun beliau adalah penyokong Mamalik Bahriah.

Langkah kedua yang telah dilakukan oleh Qutuz adalah memberikan pengampunan kepada semua penyokong Mamalik Bahriah. Perselisihan yang berlaku sebelum ini yang berpunca dari pembunuhan Raja Izzuddin Aibak ingin segera dihentikan oleh Qutuz.

Mamalik Bahriah mempunyai pengalaman yang luas di dalam medan peperangan. Di antara kehebatan yang pernah mereka tunjukkan adalah kemenangan mereka di dalam Perang Mansurah (salah satu siri perang Salib) pada tahun 648 H. Pengampunan itu telah berjaya memujuk mereka yang telah keluar meninggalkan Mesir untuk kembali ke Mesir. Rombongan penyokong Mamalik Bahriah kembali berduyun ke Mesir dari bumi Syam, Karak (di Jordan sekarang) dan bumi kerajaan Saljuk. Dengan itu Mesir berjaya mendapatkan kembali kekuatan tenteranya.

Langkah ketiga yang diambil oleh Qutuz adalah mengusahakan penyatuan semula antara Mesir dan Syam. Seperti yang diceritakan sebelum ini, Raja Damsyik dan Halab (sebahagian dari bumi Syam) iaitu Raja Nasir al-Ayubi telah melakukan perjanjian damai dengan Tatar. Perjanjian itu tidak berhenti setakat memohon perdamaian, bahkan Raja Nasir al-Ayubi pergi lebih jauh dari itu dengan meminta bantuan Tatar untuk menjatuhkan Mesir.

Qutuz menulis surat kepada Raja Nasir al-Ayubi memohon penyatuan Mesir dengan Syam. Bahkan beliau menyatakan kesanggupannya untuk duduk di bawah Raja Nasir al-Ayubi. Malangnya surat tersebut tidak dilayan.

Tetapi apabila Damsyik dan Halab ditawan oleh Tatar dan selepas Raja Nasir al-Ayubi lari menyelamatkan diri ke Karak, tentera Syam telah bergerak menuju ke Mesir dan bergabung dengan tentera Mamalik. Kesatuan ini menambahkan lagi kekuatan Mesir dan memberikannya satu semangat yang cukup kuat untuk berhadapan dengan Tatar.

Ketiga-tiga langkah ini telah memberikan Mesir satu kekuatan baru pada awal tahun 658 H. Di sini terserlah kepada kita kecekalan dan kesungguhan Qutuz. Ketiga-tiga langkah awal yang mungkin memerlukan masa yang panjang untuk dicapai, telah berjaya diselesaikan oleh Qutuz dalam masa tidak sampai tiga bulan sahaja dari tarikh beliau menaiki tahta Mesir.

Disimpulkan bahawa keadaan dunia Islam pada awal tahun 658 H adalah:

a. Mesir berjaya mendapatkan kekuatannya

b. Baghdad, Halab dan Damsyik jatuh ke tangan Tatar disamping negara-negara lain yang telah jatuh sebelumya (Daulah al-Khowarizmiah, Daulah Arminiah, Daulah Karjiah)

c. Palestin keseluruhannya jatuh ke tangan Tatar termasuk Gaza yang terletak hanya 35 kilometer dari sempadan Mesir

Surat Ancaman Holago

Ketika Mesir masih lagi di peringkat awal untuk mempersiapkan dirinya, empat orang wakil Holago telah datang memberikan surat perutusan dari beliau. Wakil tersebut datang beberapa hari selepas kejatuhan Halab (Safar 658 H), iaitu hanya tiga bulan selepas Qutuz menaiki tahta Mesir (Zulqaedah 657 H).

Surat tersebut telah memperlekehkan kekuatan tentera Islam dan memberikan kata dua kepada mereka; menyerah atau berperang. Sebahagian dari pembesar pada masa itu mula merasa takut dan ingin menarik diri kerana persiapan Mesir pada ketika masih lagi tidak seberapa jika dibandingkan dengan Tatar yang menguasai satu kawasan jajahan yang cukup luas (dari Korea ke Poland hari ini).

Qutuz mengumpulkan pembesar-pembesar dan panglima-panglima perangnya lalu berkata kepada mereka:

“Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad.”

Kata-kata beliau telah menyentak dan menyedarkan kembali pembesar-pembesar Mesir ketika itu. Mereka bukan berhadapan dengan dua pilihan yang diberikan oleh Holago, tetapi mereka berhadapan dengan pilihan yang diberikan oleh Allah terhadap mereka. Jihad pada ketika itu adalah fardhu dan mereka tidak ada pilihan selain dari itu.

Setelah berunding dengan semua pembesar, akhirnya mereka memutuskan untuk membunuh keempat-empat utusan tersebut. Kepala mereka telah digantung di tengah bandar Kaherah.

Perbuatan ini yang bertujuan untuk menegaskan keberanian tentera Islam untuk berdepan dengan Tatar telah mendapat kritikan sebahagian dari pengkaji sejarah. Mereka berpendapat bahawa tidak terdapat sebab yang kuat untuk Qutuz membunuh kesemua utusan tersebut kerana Islam adalah agama yang tidak membenarkan utusan perang dibunuh.Walau pun begitu ada juga yang mengandaikan kemungkinan berlaku beberapa peristiwa yang membawa kepada pembunuhan tersebut tetapi tidak diketahui dan tidak tercatat dalam sejarah. Wallahu a’lam.

Masalah Belanjawan Perang dan Fatwa al-Izz bin Abdis Salam

Selesai dari masalah surat Holago, Qutuz berhadapan dengan satu masalah lain iaitu sumber kewangan untuk mempersiapkan Mesir menghadapi peperangan. Belanjawan yang besar diperlukan untuk memperbaiki benteng, jambatan, membeli senjata dan peralatan perang serta bekalan makanan yang mencukupi untuk tentera dan rakyat jika Mesir dikepung oleh Tatar. Dalam keadaan Mesir yang dilanda dengan krisis politk dan ekonomi ketika itu, Qutuz tidak mempunyai masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah itu setelah surat ancaman Holago sampai kepadanya memberikan isyarat bahawa serangan Tatar akan datang pada bila-bila masa. Tatar sudah berada di sempadan Mesir.

Qutuz memanggil para pembesar negara lalu melakukan mesyuarat. Pilihan yang ada pada mereka adalah untuk mengutip duit dari rakyat jelata. Ia perlu dilakukan segera. Mereka tidak ada pilihan selain dari itu. Tetapi pilihan ini memerlukan satu fatwa dikeluarkan oleh ulama’ Islam kerana umat tidak pernah kenal ada cukai lain selain dari zakat. Tanpa fatwa tersebut, Qutuz tidak akan melakukannya kerana menyelesaikan masalah dengan jalan yang tidak syar’ie hanya akan menjebakkan Mesir ke dalam masalah lain yang mungkin lebih besar. Syariat adalah batas bagi segala-galanya.

Di antara yang dipanggil untuk turut serta di dalam mesyuarat tersebut adalah seorang ulama’ bernama al-Izz bin Abdis Salam (lebih dikenali sebagai Izzuddin Abdis Salam). Beliau lahir pada tahun 577 H. Ketika mesyuarat tersebut umurnya sudah mencecah 81 tahun. Ibnu Daqiq al-Aid menggelarnya sebagai ‘Sultan kepada semua ulama’. Gelaran ini diberikan kerana sifat beliau yang amat tegas di dalam menasihati para pemerintah dan panglima perang ketika perang Salib sedang rancak berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan fatwa di dalam masalah ibadah tetapi juga turut campur tangan di dalam memberikan fatwa di dalam masalah politik dan peperangan.

Beliau pernah dipenjarakan di Damsyik dan di Quds kerana kelantangan fatwanya terhadap pemimpin Islam yang mengkhianati umat Islam dan melakukan persepakatan dengan tentera Salib. Setelah dibebaskan oleh Raja Soleh Najmuddin Ayub, raja Mesir ketika itu, beliau berpindah ke Mesir dan menjadi Mufti Mesir setelah sebelum ini menjadi Mufti di Palestin dan Syam.

Ketika Qutuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata, Izzuddin Abdis Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:

“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.”

Fatwa yang cukup tegas ini disambut juga dengan ketegasan oleh Qutuz. Beliau memerintahkan semua pembesar negara dan pimpinan perang agar menyerahkan semua yang mereka miliki kepada negara. Hasil yang menakjubkan; Mesir adalah negara yang kaya. Tetapi kekayaan tersebut telah disalahgunakan oleh sebahagian pimpinan pada masa itu. Penyerahan harta dari pembesar negara telah disambut oleh rakyat jelata. Mereka mula menyumbangkan harta masing-masing untuk memenuhi tuntutan belanjawan perang. Semua turut serta di dalam memberikan sumbangan. Fatwa Izzudin bin Abdis Salam benar-benar dapat menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar yang segera.

Kejutan Dari Qutuz; Memerangi Tatar Bukan Bertahan di Mesir

Mesir sudah bersedia untuk menghadapi Tatar. Segala sunnah dan asbab telah diambil oleh Qutuz. Qutuz berjaya menaikkan semangat rakyat Mesir. Qutuz berjaya memadamkan perselisihan di antara pembesar Islam. Qutuz berjaya mendamaikan antara Mamalik Bahriah dan Mamalik Muizziah. Qutuz berjaya menyatukan antara Mesir dan Syam, dua wilayah Islam yang kuat. Qutuz berjaya memperkecilkan Tatar pada pandangan umat Islam. Qutuz berjaya membersihkan jiwa pembesar dan rakyat. Qutuz berjaya membersihkan wang-wang haram dan melancarkan jihad dengan menggunakan wang yang halal.

Dengan kekuatan tersebut Qutuz memilih untuk melakukan tindakan yang cukup berisiko. Beliau telah mengisytiharkan pandangannya di dalam mesyuarat dengan pimpinan tentera untuk mereka keluar menyerang Tatar di bumi Palestin dan mengubahnya dari rancangan asal iaitu menunggu serangan Tatar di Mesir. Pandangan ini amat mengejutkan pimpinan tentera sehinggakan sebahagian dari mereka bangun terkejut setelah mendengar pandangan tersebut. Berlakulah perbincangan dan Qutuz menerangkan kepada mereka rahsia pilihannya itu.

Qutuz menegaskan beberapa noktah yang kemungkinan tidak disedari oleh sebahagian pimpinan tentera akibat terlalu lama berada dalam krisis politik.

a. Keselamatan Mesir bukan terletak di Kaherah tetapi sebaliknya bermula dari sempadan Mesir di sebelah timur. Dengan itu usaha untuk menyelamatkan sempadan Mesir – Palestin mesti dilakukan dari peringkat awal dengan cara menyerang Tatar di Palestin.

b. Berperang di luar Mesir memberikan Mesir kelebihan; iaitu mereka masih lagi ada peluang kembali ke Mesir untuk menyusun semula strategi. Tetapi jika mereka kalah di dalam bumi Mesir, mereka tidak mempunyai peluang tersebut. Sebaliknya Tatar dengan mudah dapat terus menerobos ke Kaherah, ibu negara Mesir.

c. Tentera Islam mesti melakukan kejutan ke atas musuh dengan cara mereka yang menentukan tempat dan masa untuk berperang. Dengan itu mereka berada dalam keadaan cukup bersedia untuk berperang dalam keadaan musuh tidak bersedia sepenuhnya.

d. Mesir bertanggungjawab bukan sahaja ke atas keselamatan Mesir tetapi juga ke atas keselamatan bumi-bumi Islam yang lain. Jihad mempertahankan negara Islam yang dijajah adalah fardhu ke atas negara jiran jika negara yang dijajah itu tidak mampu mempertahankan dirinya.

e. Umat Islam mempunyai kewajipan untuk menyerang dan membuka negara Tatar lalu menawarkan kepada mereka samada Islam atau jizyah. Apatah lagi jika sekiranya tentera Tatar berada di bumi Islam, kewajipan untuk membuka yang dijajah oleh Tatar tersebut lebih wajib lagi dari menyerang negara Tatar sendiri.

Setelah perbincangan yang panjang, akhirnya keputusan diambil bersama. Tentera Islam akan bergerak menuju ke bumi Palestin dan menyerang Tatar di situ.

Perjanjian Damai Islam – Salib di Akka

Untuk sampai ke tempat yang sesuai dijadikan medan perang di Palestin, tentera Islam terpaksa melalui bandar Akka. Bandar Akka pada ketika itu masih lagi di bawah jajahan tentera Salib sejak tahun 492 H. Mereka telah berada di Akka selama 166 tahun. Terdapat generasi tentera Salib di bandar tersebut.

Tentera Salib berada dalam keadaan yang cukup lemah di Akka. Kelemahan ini hasil dari keletihan peperangan yang mereka terpaksa hadapi dari tentera Salehudin Ayyubi sebelum ini. Pembebasan Quds berlaku pada tahun 643 H. Peperangan Mansurah berlaku pada tahun 648 H. Selepas peperangan tersebut, ramai tentera Salib yang dijadikan tawanan termasuk King Louis IX, Raja Perancis.

Walau pun begitu, untuk membebaskan Akka dari tentera Salib tidaklah semudah yang disangkakan. Benteng terkuat tentera Salib adalah di Akka. Banyak cubaan termasuk cubaan oleh Salehudin al-Ayyubi untuk membebaskan Akka menemui kegagalan sebelum ini. Ini termasuk kemungkinan akan berlaku sekali lagi persepakatan di antara tentera Tatar dan tentera Salib yang akan menguatkan kembali Akka.

Langkah yang diambil oleh Qutuz adalah melakukan perjanjian damai sementara dengan pemerintah Salib di Akka. Perjanjian damai ini akan berakhir apabila peperangan menentang Tatar selesai. Langkah ini diambil oleh Qutuz di atas beberapa pertimbangan:

a. Memerangi tentera Salib dan tentera Tatar serentak akan menghilangkan tumpuan tentera Islam dan melemahkan mereka.

b. Tatar adalah masalah utama ketika itu

Qutuz menghantar utusannya untuk menawarkan perjanjian damai. Beberapa syarat diberikan oleh Qutuz kepada tentera Salib yang menunjukkan bahawa Islam sebenarnya berada di posisi kuat ketika melakukan perjanjian dan bukan di posisi lemah. Ia tidak boleh disamakan dengan perjanjian yang berlaku di antara sebahagian pihak yang mewakili Palestin sekarang dengan Yahudi penjajah.

Wakil Qutuz menawarkan kepada penduduk Akka keamanan. Mereka juga menawarkan akan menjual kuda-kuda tentera Tatar dengan harga yang murah kepada penduduk Akka jika mereka berjaya menjatuhkan Tatar. Tawaran ini amat menarik bagi penduduk Akka yang sememangnya kekurangan kuda. Kuda-kuda Tatar terkenal di zaman itu sebagai kuda yang kuat.

Tetapi di masa yang sama, wakil Qutuz mengenakan syarat bahawa Akka perlu memberikan bantuan makanan dan apa-apa yang diperlukan oleh tentera Islam sepanjang mereka berada di Palestin. Wakil Qutuz juga memberikan amaran keras kepada tentera Salib di Akka bahawa jika berlaku sebarang pengkhianatan di pihak tentera Salib, tentera Islam akan meninggalkan peperangan melawan Tatar dan menumpukan sepenuh tenaga mereka kepada tentera Salib sehingga Akka berjaya dibebaskan.

Di pihak tentera Salib, mereka sebenarnya tidak mempunyai pilihan yang lebih baik dari menerima tawaran tersebut. Menolak tawaran perjanjian damai akan menaikkan kemarahan tentera Islam dan kemungkinan akan membawa kepada kejatuhan Akka. Dengan itu Akka dengan segera menerima perjanjian damai sementara itu.

Laluan Qutuz dan tentera Islam ke Palestin untuk berhadapan dengan Tatar kini terbuka.

Pembersihan Saff Muslimin

Kini peperangan benar-benar berada di ambang mata. Ia benar-benar akan berlaku. Kejutan berlaku kepada sebahagian tentera yang pada awalnya menyangka bahawa usaha Qutuz tersebut hanyalah kempen menaikkan semangat. Ketakutan menyelubungi mereka kerana Tatar adalah kekuatan gila yang tidak pernah dikalahkan. Tentera Salib tidak segila itu. Bahkan pada zaman itu meniti dari mulut ke mulut satu mitos yang diterima oleh semua orang pada masa itu ‘jika kamu mendengar Tatar dikalahkan, jangan percaya’.

Mereka lari meninggalkan tentera Islam. Sebahagiannya lari ke bumi Hijaz. Ada yang lari ke Yaman. Ada juga yang lari jauh sehingga ke Morocco. Hasil dari itu tentera Islam benar-benar bersih dari jiwa-jiwa yang kotor. Yang turut berperang adalah mereka yang benar-benar jelas matlamatnya, kuat dan berani menanggung segala risiko. Mereka bersedia untuk syahid di jalan Allah.

Saff muslimin berada di kemuncak persiapan. Segala-galanya telah disiapkan oleh Qutuz, Raja yang menyerahkan kehidupannya untuk agama Allah. Usaha yang bermula dari Zulkaedah 657 H sehingga ke Sya’ban 658 H itu (tidak sampai 10 bulan) telah benar-benar membuahkan hasilnya.

Kini tentera Islam sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi Tatar.

Sya’ban 658 H: Ke Bumi Palestin Untuk Menumbangkan Tatar

Pergerakan tentera Islam bermula pada bulan Sya’ban 658 H. Ia bersamaan bulan Julai 1260 M. Bulan Julai adalah musim panas. Merentasi padang pasir di dalam musim panas bukanlah suatu yang mudah. Ditambah pula mereka akan menghampiri bulan Ramadhan. Tetapi Qutuz tidak menangguhkan langsung operasi tersebut.

Tentera Islam dilatih di Kaherah, Asyut, Iskandariah dan Dimyat. Daripada kem-kem latihan tersebut mereka berkumpul di Solehiah yang terletak di Syarqiah, Mesir sekarang ini. Dari situ mereka bergerak ke sebelah timur dan kemudian naik ke utara menuju ke Arisyh. Itulah bandar pertama mereka berteduh setelah merentasi padang pasir dari Solehiah. Dari Arisyh mereka menuju ke Gaza yang berada di bawah penguasaan Tatar.

Qutuz telah membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama agak kecil jika dibandingkan dengan kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini diketuai oleh panglima Islam yang hebat, Ruknuddin Baibras. Kumpulan ini berjalan terpisah agak jauh dari kumpulan kedua. Kumpulan pertama ini berjalan menzahirkan dirinya manakala kumpulan kedua berjalan dengan perlahan dan menyembunyikan diri. Ini adalah antara taktik perang yang dilakukan oleh Qutuz untuk mengelabui mata musuh agar musuh silap di dalam menghitung kekuatan tentera Islam.

Kemenangan di Gaza

Pada 26 Julai 1260 M, Baibras sudah berjaya melepasi sempadan Mesir – Palestin. Dia berjaya melepasi Rafah, Khan Yunus dan Dir Balah. Kini dia berada terlalu hampir dengan bandar Gaza.

Perisikan Tatar berjaya mengesan kemaraan tentera Baibras. Mereka menyangka bahawa pasukan itu adalah keseluruhan tentera Islam tanpa mengetahui tentang kewujudan pasukan kedua tentera Islam yang berada jauh dari Gaza. Berita tersebut sampai kepada tentera Tatar. Ketika itu tentera utama Tatar di bawah pimpinan Katabgha masih lagi jauh dari Gaza. Mereka berada di bumi Lubnan, 300 kilometer dari Gaza. Dengan itu mereka menghantar satu pasukan yang tidak begitu besar untuk menghadapi tentera Islam.

Berlakulah pertembungan di antara dua pasukan tersebut. Kali pertama setelah puluhan tahun, tentera Islam menang di dalam pertembungan melawan Tatar. Terbunuh di dalam peperangan tersebut sebahagian tentera Tatar. Tentera yang terselamat melarikan diri menyampaikan berita tersebut kepada Katabgha.

Marah bercampur terkejut. Itulah reaksi Katabgha dan tentera Tatar ketika mendengar berita kekalahan mereka. Sebelum ini mereka sudah terbiasa membunuh orang Islam tanpa mendapat tentangan sengit. Mereka juga sudah terbiasa dengan beberapa Raja Islam yang menghinakan diri memohon perdamaian dari mereka. Di luar jangkaan mereka, masih ada lagi tentera Islam yang berani melawan mereka dan mampu mengalahkan mereka. Ini adalah pengalaman baru bagi Tatar.

Di pihak tentera Islam, kemenangan itu menaikkan semangat mereka untuk terus berjihad. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya mereka akan terus ke hadapan sehingga ke kehancuran Tatar.

Pemilihan Lokasi Peperangan: Ain Jalut

Tentera Islam terus bergerak dari Gaza melepasi Asqalan dan Yafa. Dari situ mereka singgah sebentar di Akka dan berjumpa dengan pimpinan tentera Salib di Akka untuk memastikan perjanjian masih lagi dipatuhi oleh mereka.

Seterusnya Qutuz dan tentera Islam bergerak meninggalkan Akka menuju ke Ain Jalut. Di manakah Ain Jalut?

Ain Jalut terletak tidak jauh dari perkhemahan Janin sekarang ini. Ia terletak di antara bandar Bisan dan Nablus. Ia terletak 65 kilometer dari Hittin, medan peperangan Hittin yang berlaku pada tahun 583 H. Ia terletak 6o kilometer dari Yarmuk, medan peperangan Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.

Ia dipilih kerana ia adalah kawasan lapang yang luas dan dikelilingi oleh bukit kecuali di bahagian utaranya. Bukit-bukit tersebut dipenuhi pokok-pokok yang memudahkan tentera Islam untuk bersembunyi. Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras diletakkan di bahagian utara sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik pokok.

Semua berada dalam keadaan bersedia menanti kedatangan Katabgha dan tentera Tatar.

24 Ramadhan 658 H

Ketika Qutuz dan tentera Islam sudah pun berada di bumi Ain Jalut, datang sejumlah sukarelawan dari Palestin. Sebelum ini mereka menyembunyikan diri dari medan peperangan. Kesungguhan Qutuz dan qudwah yang ditunjukkan oleh beliau telah menghilangkan ketakutan mereka.

Di samping itu, medan Ain Jalut juga mula dipenuhi dengan petani-petani, kanak-kanak dan wanita. Sebahagiannya ada yang telah tua dan uzur. Kesemuanya keluar untuk memberikan bantuan dalam bentuk yang mereka mampu. Qutuz benar-benar berjaya menggerakkan umat Islam kembali ke medan jihad.

Di hari yang sama, datang seorang utusan kepada tentera Islam dan memohon untuk bertemu dengan Qutuz. Dia memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sorimuddin Aibak, seorang muslim yang dijadikan tawanan Tatar dan dipaksa berkhidmat untuk tentera Tatar. Wakil tersebut berkata bahawa dia membawa beberapa pesanan dari Sorimuddin Aibak untuk disampaikan kepada Qutuz.

Pesanan tersebut adalah beberapa maklumat penting untuk tentera Islam:

a. Tentera Tatar tidak lagi sekuat sebelum ini. Holago telah membawa sebahagian tentera dan panglima perangnya ke Tibriz, Iran. Kekuatan mereka tidak lagi sekuat ketika mereka menakluk Syam.

b. Bahagian kanan tentera Tatar lebih kuat dari bahagian kiri mereka. Dengan itu tentera Islam hendaklah menguatkan bahagian kiri mereka untuk menghadapi bahagian kanan tersebut.

c. Asyraf al-Ayubi, Raja Hims yang sekarang ini bersama tentera Tatar ingin kembali ke pangkuan tentera Islam. Mereka akan melakukan tipu helah agar tentera Tatar yang bersama mereka dapat dikalahkan.

Maklumat ini diterima oleh Qutuz dengan penuh hati-hati, bimbang jika sekiranya ia adalah sebahagian dari taktik dan tipu daya Tatar.

Semua ini berlaku pada siang 24 Ramadhan 658 H di Ain Jalut.

Pada malamnya Qutuz dan tentera Islam melakukan tahajud dan memohon dari Allah kemenangan tentera Islam dalam pertempuran esok hari. Malam itu adalah malam 25 Ramadhan dan kemungkinan ia adalah malam Lailatul Qadar. Mereka menghabiskan malam mereka dengan tahajud dan doa serta menyerahkan diri kepada Allah. Moga-moga Allah menerima mereka sebagai hambaNya dan memberikan kemuliaan kemenangan atau syahid di medan pertempuran esok hari.

Moga-moga esok adalah hari di mana mereka boleh menebus semula kematian jutaan umat Islam di tangan Tatar.

25 Ramadhan 658 H

Fajar menyinsing tiba. Hari yang dinantikan oleh tentera Islam dan muslimin yang bersama dengan mereka sudah menjelma. Hari itu adalah hari Jumaat 25 Ramadhan 658 H.

Tentera Tatar di bawah pimpinan Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga di sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika tentera Tatar tiba.

Qutuz memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi satu katibah.

Ketika katibah pertama turun dari bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan tentera Tatar menjerit ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian berbelang putih dan merah. Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik. Mereka turun dalam keadaan tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.

Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Sanqar ar-Rumi.”

Kemudian turun pula katibah kedua. Katibah ini memakai pakaian berwarna kuning dan membawa senjata yang berhias indah. Mereka juga turun dalam keadaan tersusun, pergerakan yang sama dan seimbang.

Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Balban ar-Rasyidi.”

Kemudian turun pula katibah seterusnya dengan memakai pakaian berwarna lain. Setiap kali katibah baru turun, Katabgha akan bertanya kepada Sorimuddin: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin yang tidak mengetahui keseluruhan nama-nama katibah Mamalik mula mereka-reka nama tertentu untuk menambahkan ketakutan Katabgha.

Tentera Mamalik terpecah kepada banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna tertentu yang membezakannya dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan warna yang sama. Begitu dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di Mesir. Semuanya akan diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.

Semua katibah ini adalah sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera yang masih lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz.

Gendang mula dimainkan oleh pasukan gendang tentera Islam. Sudah menjadi kebiasaan tentera Mamalik, mereka akan meletakkan satu pasukan gendang di medan perang. Mereka memainkan rentak yang akan memberikan isyarat tertentu kepada tentera Mamalik.Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamalik. Setiap pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut.

Pasukan Baibras sudah berada hampir dengan tentera Katabgha. Peperangan sudah semakin hampir.

Serangan Pertama: Bermula Peperangan

Bermulalah pertempuran. Katabgha yang menyangka bahawa pasukan Baibras yang kecil itu adalah keseluruhan tentera Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk masuk ke medan pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat.

Baibras dan tenteranya berdiri tenang di tempat masing-masing menantikan kemaraan tentera Tatar yang berjumlah berkali ganda dari bilangan pasukan mereka. Apabila tentera Tatar sudah hampir kepada mereka, Baibras memberikan isyarat kepada tenteranya untuk merempuh ke depan.

Pedang bertemu pedang, gendang dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan dengan takbir dari petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula mengalir. Satu demi satu nyawa melayang. Walau pun begitu, Baibras dengan bilangan tentera yang sedikit mampu bertahan sehingga ke saat itu. Ketakutan mula meresap masuk ke dalam diri tentera Tatar. Belum pernah mereka menghadapi kekuatan sedemikian.

Pemilihan Qutuz sememangnya tepat. Panglima-panglima perang yang dipilih untuk bertembung di peringkat awal dengan Tatar dan menghabiskan tenaga Tatar adalah panglima perang Mamalik terbaik. Mereka adalah panglima yang terlibat sekali di dalam mengukir kemenangan di dalam peperangan Mansurah menentang tentera Salib pimpinan Louis IX. Mereka memiliki kemahiran perang yang tinggi.

Qutuz dan baki tentera masih lagi menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan peperangan tersebut dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.

Serangan Kedua: Mengepung Tentera Tatar

Masanya sudah tiba untuk Qutuz memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras dan tenteranya berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini adalah taktik yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand ketika tentera Islam di zaman Saidina Omar r.a. membuka Parsi. Taktik ini digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah medan peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang kita ketahui medan Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya kecuali di bahagian utara. Kepungan itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya menarik tentera Tatar ke tengah medan.

Ia bukanlah taktik yang mudah. Ia memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan menyebabkan musuh menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan kematian tentera Islam.

Qutuz memberikan arahan kepada pasukan gendang untuk memberikan arahan baru ini. Baibras memahami rentak gendang tersebut. Tanpa berlengah dia dan tenteranya mula berundur ke belakang sedkiit demi sedikit dengan penuh hati-hati. Mereka berpura-pura menzahirkan keletihan dan kelemahan mereka.

Katabgha tertipu. Dia mengarahkan seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang tanpa menyedari taktik tersebut. Ini adalah satu yang cukup pelik berlaku kepada beliau. Katabgha adalah panglima perang Tatar yang mahir. Menjadi panglima perang sejak zaman Genghis Khan. Ketika peperangan Ain Jalut, beliau berusia lebih 60 tahun atau mungkin lebih 70 tahun. Satu usia yang memberikan pengalaman yang tidak sedikit berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu. Tetapi Allah mengatur segala-galanya.

Taktik ini berjaya. Tentera Tatar telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera Islam muncul, Katabgha menyedari kesilapannya. Di sini tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali terus berperang mati-matian. Mereka nampak kematian semakin menghampiri mereka.

Serangan Ketiga: Kekuatan Bahagian Kanan Tatar

Katabgha memberikan arahan agar semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka seolah-olah mengamuk dan mengasak tentera Islam. Di sini terbukti kebenaran apa yang dikatakan oleh wakil Sorimuddin Aibak berkenaan kekuatan bahagian kanan tentera Tatar. Bahagian kiri tentera Islam telah diasak dengan dahsyat oleh mereka. Gugur di kalangan tentera Islam seorang demi seorang sebagai syahid.

Qutuz yang melihat dari atas bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam. Langkah yang diambil oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’. Laungan ini diucapkan oleh beliau sambil beliau turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam.

Tentera Tatar terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya. Beberapa libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau. Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh. Pun begitu beliau meneruskan jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau berjaya mendapatkan kuda bantuan.

Seorang pembesar istana menjerit dan mencelanya kerana lambat menaiki kuda. Beliau bimbangkan Qutuz terbunuh lalu dengan itu akan kalahlah tentera Islam. Tetapi Qutuz menjawab: “Ada pun diriku, sesungguhnya ia sedang menuju surga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”

Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.

Kematian Katabgha

Dibunuh oleh Jamaludin Aqusy as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik. Pernah berada di bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya setelah melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al-Ayyubi.

Beliau merempuh tentera Tatar sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera tersebut. Di situ beliau melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau mengumpulkan seluruh tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha. Kepala Katabgha berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di hadapan tentera Tatar.

Ketakutan makin meningkat melihat kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Tatar mula melarikan diri melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar mereka.

Pertembungan Akhir di Bisan dan Berakhirnya Kekuatan Tatar

Tentera Tatar berjaya memecahkan kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri sejauh 20 kilometer dan berhenti di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka.

Berlaku pertembungan yang lebih sengit. Kali ini tentera Tatar benar-benar menggila untuk memastikan mereka terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan peperangan memberikan semangat kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa Islaamah. Wa Islaamah. Wa Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Tatar.”

Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos bahawa Tatar tidak akan dikalahkan bila-bila.

Medan peperangan kembali sunyi. Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan Tatar. Tidak ada lagi takbir para petani. Tidak ada lagi bunyi libasan pedang. Mayat-mayat tentera Tatar mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan. Qutuz berjalan di tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan selama sehari di bulan Ramadhan.

Kesudahan Yang Baik Buat Raja Yang Hebat

Qutuz sujud ke bumi mensyukuri kemenangan tersebut. Beliau dan tenteranya berjaya membunuh kesemua tentera Tatar. Ya! Kesemuanya. Tidak ada seorang pun dari tentera Tatar yang berjaya melepaskan diri mereka hidup-hidup. Semuanya mati dibunuh oleh tentera Islam di dalam peperangan yang cukup hebat ini.

Maruah umat Islam berjaya dikembalikan. Kematian jutaan umat Islam berjaya dibalas oleh Qutuz. Sememangnya beliau seorang pemimpin hebat yang berjaya mencipta satu sejarah untuk dibanggakan oleh umat Islam sepanjang zaman. 10 bulan sudah cukup bagi Qutuz untuk menjatuhkan Tatar yang bermaharajalela di bumi Islam selama lebih 40 tahun.

Semua itu berlaku pada hari ini, 25 Ramadhan.


Moga pahlawan seperti Qutuz akan ada penggantinya. Aamin.

Sejarah Islam : Sultan Muhammad Al Fatih

Sejarah Islam : Pemerintahan Sultan Muhammad Al Fatih

 

Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera” (Hadis riwayat Imam Ahmad). Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople. Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (855 – 886H / 451 – 1481M). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 bersamaan dengan 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda diracun.

PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik. Di dalam bidang Ilmu politik pula, ayahandanya, Sultan Murad II, ketika memencilkan diri di Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Ia bertujuan untuk mendidik bagina dalam usia yang sebitu muda. Walaupun begitu baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN
Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis. Baginda sentiasa bersifat tawaduk dan rendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Bosphorus adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan bahagian Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini sepanjang 30 kilometer, dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadoluhisar dan Rumelihisar. Kedalamannya antara 36 hingga 124 meter. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

MENARA BERGERAK
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

BANTUAN DARI POPE VATICAN
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantin.

PERANG DARI PUNCAK GUNUNG
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

MEMANJAT DAN MELASTIK DINDING
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

KARISMA SEORANG PEMIMPIN
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

PENAWANAN CONTANTINOPLE
Pada 20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.

Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya itu.

INGATAN
Memikirkan tentang kehebatan al-Fateh dan tenteranya… suatu ketika, dalam perjalanan menuju ke Constantinople, tentera al-Fateh melalui sebuah kebun anggur yang besar dan buahnya sedang masak ranum. Namun, sebelum melalui kebun tersebut, al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya jangan diambil anggur itu walaupun sebiji.

Perjalanan diteruskan hingga sampai di suatu tempat, mereka berehat. Setelah didirikan khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul. Para tentera diberitahu bahawa al-Fateh telah jatuh sakit. Setelah diteliti oleh tabib, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia bertanya kepada seluruh tentera, siapa yang mempunyai buah anggur, kerana jika tidak, mungkin al-Fateh akan terus sakit dan mati. Malangnya, tiada seorang pun tenteranya mempunyai buah anggur. Lalu tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari tenteranya yang mengingkari perintahnya. Maka keluarlah al-Fateh dr khemah, dan memuji tenteranya dan menerangkan kepda mereka maksud sebenar.

Mampukah tentera kita menyaingi kehebatan tentera Islam di zaman al-Fateh?


Sejarah Islam : Sultan Aurangzeb Alamgir

Sejarah Islam : Pemerintahan Sultan Abul Muzaffar Muhy-ud-Din Muhammad Aurangzeb Alamgir

Aurangzeb reading the Quran.jpg

Abul Muzaffar Muhy-ud-Din Muhammad Aurangzeb Alamgir (4 November 1618-20 Februari 1707), lebih dikenal sebagai Aurangzeb atau gelaran pemerintahannya Alamgir (Penakluk Dunia) merupakan sultan Mogul keenam yang memerintah dari tahun 1658 sampai wafatnya pada tahun 1707. Beliau merupakan pemerintah Mughal yang terbesar diantara orang-orang Mughal yang menguasai anak benua India. Dia berjuang sepanjang hidupnya untuk meluruskan kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh moyangnya yang murtad serta penuh nafsu yakni, Akbar Khan dan datuknya yang gemar bermewah, Jahangir.

Akbar Khan yang buta huruf disebut “Akbar The Great” oleh sejarawan non Muslim, nafsunya diperbudak oleh perempuan-perempuan Rajput, dan bahkan dengan lancang mendirikan sebuah agama baru “Deen E Elahi”, beliau hanya mendapatkan sedikit pengikut  saja selama hidupnya dan agama itu mati apabila beliau meninggal dunia. Masa pemerintahannya yang lama benar-benar merupakan malapetaka besar bagi agama Islam di anak benua ini. Beliau menekan kaum muslim dan menganak emaskan orang hindu. Orang hindu yang akhirnya kuat membangkang pada masa Aurangzeb dan merupakan penyebab runtuhnya Jahangir, yang gemar mengumbar hawa nafsu dan menyerahkan urusan negaranya kepada permaisurinya Noor Jahan. Shah Jahan, ayah Aurangseb, cuba menerapkan pola-pola Islam dalam pemerintahannya dan lembaga-lembaga negaranya, tetapi beliau lebih tertarik untuk mendirikan bangunan-bangunan hebat seperti Taj Mahal, Masjid Mutiara, Masjid Juma dan Benteng Merah di Delhi. Dia dikenal sebagai pelopor terbesar bangunan-bangunan hebat dalam sejarah.

Tugas menegakkan syiar Islam yang benar jatuh pada Aurangseb yang kuat, yang melaksanakan kewajiban-kewajibannya sebagai seorang Kaisar dengan keberanian dan keteguhan luar biasa. Tugas yang dihadapinya adalah untuk menumpaskan penyelewengan dan pemberontak, kerana Akbar dan Jahangir tidak berpandangan jauh ke depan sehingga telah membuat pemberontak itu menjadi semakin besar. Ketika beliau meninggal, Kekaisaran Mughal telah terbentang sampai batas paling jauh. Dia telah menegakkannya diatas dasar yang lebih teguh. Namun jika penggantinya tidak  lemah, maka kekuasaan Muslim di India tidak akan tercatat seperti sekarang ini.

Muhammad Muhiudin Aurangzeb, putera ketiga Kaisar Mughal Shah Jahan dilahirkan di Dhud, 4 November 1618. Ibunya bernama Mumtaz Mahal (Arjumand Banu Begum). Sifatnya yang soleh sudah tampak ketika Aurangzeb masih muda, yang selalu berusaha menekan perasaan atau gejolak batinnya atas kecendrungan-kecendrungan nafsu berfoya-foya seperti yang dimiliki oleh datuknya, Jahangir. Setelah sebuah pemberontakan yang dilakukan oleh ayahnya  gagal, sebagian masa kecil Aurangzeb dihabiskan sebagai tahanan rumah di istana datuknya, Jahangir. Muhammad Saleh Kamboh Salafi adalah salah satu gurunya waktu masih kanak-kanak. Setelah wafatnya Jahangir pada tahun 1627,  Aurangzeb kembali berkumpul dengan orang tuanya. Kepadanya diberikan pendidikan yang mendalam mengenai keagamaan dan keduniawian, ilmu pemerintahan dan berbagai latihan ketenteraan. Pada usianya yang masih muda, Ia telah membuktikan dirinya sebagai pemilik tahta Mughal yang paling cekap dan mempunyai masa depan yang cemerlang. Suatu saat Aurangzeb muda bersama-sama ayahandanya, beberapa saudara lelakinya dan banyak tokoh negara menyaksikan gajah beradu di Benteng. Salah satu gajah mengamuk dan lari menuju penonton. Sang raja, Permaisuri, dan para tamu lain berlarian menyelamatkan diri. Tapi Aurangzeb tetap ditempatnya meskipun telah diteriak agar lari. Gajah itu lalu menyerang Aurangzeb yang sendirian dan berusaha mengangkat dengan belalainya. Pada saat itu sang pangeran mencabut pedangnya dan melibas dengan kuat belalai gajah itu. Kerana merasa kesakitan, gajah itu kemudian lari. Shah Jahan betul-betul gembira menyaksikan keberanian Aurangzeb, dan sebagai tanda syukur, sang raja menyedekahkan wang emas kepada kaum miskin.

Sebagaimana pemerintah lain, Shah Jahan memberikan kekuasaan kepada anak-anaknya. Aurangzeb mendapat tugas memimpin ekspedisi ketenteraan ke Dekkan (1634). Kerana berjaya, pada tahun 1636, Aurangzeb diangkat sebagai Subahdar (wakil raja) Dekkan termasuk Khandesh, Berer, Telangana, dan Daulatabad dengan 64 benteng. Beliau mengalahkan pemimpin Mahratta, Shahji Bhonsla yang menyerahkan diri pada tahun 1636. Pada masa ini beliau mulai membangunkan kota baru dekat ibu kotanya yang lama Khirki yang kemudiaan ia namakan Aurangabad. Pada tahun 1637, beliau bernikah dengan Rabia Durrani. Selama tempoh ini, keadaan Dekkan adalah aman. Namun diistana Mughal, Shah Jahan mulai menunjukan bahawa beliau lebih menyukai dan sentiasa melebihkan putera tertuanya Dara Shikuh. Pada tahun 1644, adik perempuan Aurangzeb, Jahanara Begum mendapat kecelakaan kebakaran di Agra. Kejadian ini adalah bermulanya krisis di dalam keluarga tersebut. Ayahnya tidak senang kepada Aurangzeb kerana lambat kembali ke Agra iaitu tiga minggu selepas kejadian itu, dan bukannya segera datang. Shah Jahan memecatnya sebagai gabernor Dekkan pada 1654. Namun Aurangzeb kemudian mengatakan bahawa beliau mengundurkan diri sebagai protes dari ayahnya yang lebih memihak Dara.

Pada tahun 1645, beliau dilarang keluar dari Istana selama 7 bulan. Tetapi kemudian Shah Jahan mengangkatnya sebagai gabernor Gujarat dimana dia berjaya mengawal pemberontakan selama dua tahun. Hasilnya Aurangzeb sebagai ketua pemerintahan dan panglima benar-benar diakui oleh sang Kaisar sehingga ia diberi tugas untuk memimpin ekspedisi-ekspedisi ketenteraan yang rahsia di Balkh dan Badakshan pada tahun 1647 (sekarang Afghanistan dan Tajikistan), menggantikan adiknya yang tidak cekap, Murad Baksh. Dalam suatu perang dahsyat menghadapi pasukan berkuda bangsa Uzbek pimpinan Abdul Aziz di Balkh itu pasukan Mughal berkali-kali melancarkan serangan, namun gagal disebabkan orang-orang Uzbek yang perkasa. Aurangzeb yang memimpin serbuan dengan mendadak turun dari kudanya pada saat matahari terbenam untuk melakukan sholat magrib. Orang-orang Uzbek yang dikejutkan oleh keberanian panglima Mughal ini menghentikan gerakan mereka. Komandan mereka berteriak ”  beliau adalah seorang soleh. Kami tidak akan berperang melawan orang yang begitu berani dan kuat beribadah” dan mereka mengundurkan diri dari pertempuran.

Sebagai penghargaan atas kejayaannya ditengah-tengah situasi yang sangat berbahaya, akhirnya beliau diangkat sebagai gabenor Multan dan Sindh, Maret 1648. Dari sini beliau mulai melakukan serangan ketenteraan berkepanjangan terhadap tentera Safawi dalam merebut kota Kandahar. Dia gagal, sehingga ayahnya tidak menyenanginya lagi.

Sekali lagi beliau diberi tugas yang paling berat di kekaisaran ketika beliau menjadi wakil raja di Dekkan untuk kedua kalinya pada Januari 1653. Ketika itu keadaan wilayah ini menyedihkan kerana dibiarkan oleh gabernor-gabernor sepeninggalnya Aurangzeb menduduki jabatan barunya di Gujarat. Rakyatnya malas. Banyak tanah dibiarkan, hutan tidak digarap, desa ditinggalkan penduduknya dan pungutan pajak dibuat sewenang-wenangnya. Panglima muda itu mencurahkan perhatiannya untuk memperbaiki pengurusan wilayah. Tanah-tanah dibuka dan ditingkatkan kesuburannya. Dia yakin bahawa pengurusan yang efisien mampu menaikan produktiviti.

Disisi lain, Aurangzeb bercita-cita untuk menakluk negara tetangganya, Golkanda (1657), yang diperintah secara buruk. Sejumlah besar pegawai yang beragama hindu berkomplot dengan para pemberontak Mahratta melawan kekuasaan Mughal. Akan tetapi beliau dihalang oleh Pemerintah Shah Jahan yang secara sistematik telah diracuni anaknya yang tertua, Dara serta penasihat-penasihatnya.
Hal yang sama terjadi tatkala Aurangzeb menyerang kerajaan Bijapur (1658), yang kebetulan penguasanya adalah teman panglima Dara. Kala itu, Aurangzeb telah menduduki Bihar dan Kalyani, tapi kemudiannya  dilarang untuk meneruskan usahanya oleh Shah Jahan, atas desakan Dara.

Perang Tahta

Shah Jahan jatuh sakit pada tahun 1657. Atas sebab ini, perang takhtai pun bermula. Dara, anak tertua, kerana berada di Istana, memiliki banyak hak istimewa kerajaan. Dia betul-betul seperti moyangnya, Akbar Khan yang lebih cenderung ke agama hindu dan benci terhadap kaum muslim. Sementara Shah Jahan lebih tertarik untuk mendirikan bangunan-bangunan hebat, berada dibawah pengaruh jahat Dara. Shuja, anak kedua, gabernor Bengal suka bermewah seperti datuknya, Jahangir. Murad putera keempat, gabernor Gujarat tidak lebih baik. Baik Shuja mahupun Murad menyatakan kemerdekaan daerah mereka masing-masing dan juga menyuruh agar namanya dibacakan didalam Kutbah Jumat. Mereka mengumpulkan harta kekayaan masing-masing.

Aurangzeb, putera ketiga dan yang paling cekap, lebih suka duduk dipinggir pagar melihat perkembangan ketiga saudaranya yang bergerak maju ke Agra. Akhirnya, Aurangzeb berpihak kepada Murad  dan bersama mengalahkan tentara kerajaan dibawah pimpinan panglima Rajput Jaswant Singh dalam pertempuran di Dharamatpur dekat Ujjain, pada April 1658. Aurangzeb dan Murad terus maju ke Agra. Dara, yang bangga dengan kekuatan tenteranya, keluar dari Agra diiringi satu lakh (10 ribu) pasukan berkuda dan 20 ribu pasukan infanteri untuk menghalang serangan kedua saudaranya. Pertempuran sengit berlaku di Samugarh, 5 Juni 1658, dimana pasukan kerajaan pimpinan Dara dikalahkan dengan kerugian yang besar, dan sang pemimpin sendiri lari meninggalkan medan peperangan menyelamatkan diri.

Kerana sifatnya Murad yang suka mabuk, Aurangzeb menangkap Murad dan memenjarakannya di Gwalior. (Kemudian, pada tahun 1661, dia didakwa atas dakwaan pembunuhan Ali Naqi). Sementara Dara mengumpulkan kembali pasukannya dan bergerak ke Punjab. Tentara Mughal yang dikirim menghadapi Shuja terperangkap di timur, jeneralnya, Jai Singh dan Diler Khan, menyerah kepada Aurangzeb, tetapi mengizinkan putera Dara, Sulaiman Soh untuk melarikan diri. Aurangzeb menawarkan Shuja untuk menjadi gabernor Bengal. Langkah ini membuat Dara terkejut dan menyebabkan banyak tenteranya membelot ke Aurangzeb. Namun, Shuja, yang meragukan ketulusan Aurangzeb, masih memerangi saudaranya itu. Shuja dihadapi oleh panglimanya Aurangzeb yang terkenal, Mir Jumla di Khajna dekat Fatehpur. Shuja dikalahkan dan dikejar sehingga sampai ke daerah-daerah garis depan timur Bengal. Dia menghilangkan diri  dipergunungan Arakan dan tidak pernah kembali selepas itu. Di sini pula Jaswant Shing mengulangi pengkhianatannya. Sembari berjuang mendampingi Shuja, beliau menyelip keluar dari pertempuran bersama pengikutnya ditengah-tengah peperangan.

Sementara itu, Dara berpindah dari satu tempat ke tempat lain mengelak dari ditangkap oleh orang-orang Aurangzeb dan sempat berada di Muthra, Punjab, Multan, Sindh serta Gujarat. Dia meminta bantuan kepada panglima Raja Jaswant Shing yang kemudian mengkhianatinya. Dara akhirnya tertangkap di Lahore dan dipenggal kepalanya atas perintah ulama yang menjatuhkan hukuman mati kepadanya kerana kepercayaannya yang bertentangan dengan agama.

Kemudian Shah Jahan dikurung oleh Aurangzeb di benteng Agra untuk mengelakkan pemberontakan. Namun sang ayah diperlakukan dengan segala hormat sesuai dengan kedudukannya. Beliau tinggal disana sampai wafatnya pada tahun 1666. Aurangzeb akhirnya menaiki takhta sebagai Pemerintah Mughal pada bulan Jun 1659. Beliau memerintah dari istananya di Delhi. Segera selepas menaiki takhta, Aurangzeb meninggalkan pandangan agama yang liberal oleh pmerintah sebelumnya. Beliau menggantikan peraturan Hindu dengan Islam. Untuk itu beliau telah menghasilkan hukum Islam dalam karya agungnya yang dikenal dengan Fatwa-e-Alamghir.

Secara berperingkat Aurangzeb menghapuskan semua tradisi yang tidak sesuai dengan hukum Islam. Beliau menerapkan kembali jizyah yang telah dihapuskan Akbar. Penerapan jizyah ini kemudian mendapat kritikan  keras dari sebahagian besar sejarawan Hindu. Padahal jizyah tidak lebih dari pajakan perang yang dikumpulkan dari warga bukan muslim yang berbadan sihat yang tinggal di negara muslim yang tidak ingin menjadi sukarelawan untuk mempertahankan negara. Bermakna, pajak tersebut tidak dikenakan kepada bukan Muslim yang bersedia untuk membela negara. Pajak ini juga tidak dikenakan kepada perempuan, anak-anak mahupun dari lelaki cacat atau tua. Atas pembayaran pajak seperti itu, pemerintah Muslim berkewajiban melindungi kehidupan, harta dan kekayaan warga bukan Muslim. Untuk alasan apapun jika pemerintah gagal melindungi warga negaranya, khususnya selama perang, jumlah kena pajak akan dikembalikan.

Dipihak lain zakat (2.5% dari kekayaan) dan 'ushr (10% dari produk pertanian) dikumpulkan dari semua Muslim, yang memiliki kekayaan (melebihi minimum tertentu, yang disebut nisab). Mereka juga membayar sedekah, fitrah, dan khums. Tidak satu pun dari hal ini dikenakan bagi bukan Muslim. Faktanya pendapatan negara  dari umat Islam beberapa kali lebih banyak dari bukan Muslim. Sementara itu Auranzeb banyak melakukan penghapusan pajak. Dalam bukunya Pengurusan Mughal, Sir Jadunath Sarkar, sejarawan terkemuka pada dinasti Mughal, menyebutkan bahawa selama pemerintahan Aurangzeb, hampir enam puluh lima jenis pajak itu dihapuskan, yang mengakibatkan kehilangan pendapatan tahunan sebanyak lima puluh juta rupee dari perbendaharaan negara.

Selanjutnya untuk menegakkan kehidupan agama islam di dalam masyarakat, Aurangzeb berusaha menerapkan pola baru dengan mengangkat muhtasib (petugas pengawas akhlak), yang mempunyai kuasa untuk mengawal perjudian, pelacuran, penggunaan dadah, minuman keras, serta hal-hal yang merosak moral lainnya (1659 M).

Akhlak Aurangzeb menurut R.C. Majumdar dan S.M. Ikram sangat mengagumkan. Beliau taat beragama, gagah berani, kuat ingatan, keras dan pantang menyerah, tidak seperti pemerintah lainnya. Dia seorang sultan yang soleh, sederhana, dan menghindari kesenangan duniawi. Sebagai seorang raja beliau tidak pernah duduk di singgahsananya.

Aurangzeb merupakan orang yang senantiasa menjadi perbincangan dikalangan sejarahwan. Beliau sebagai satu-satunya penguasa Mughal yang secara disiplin menerapkan syariat Islam. Pada masa pemerintahannya jajahan Mughal sangat luas, melebihi masa Akbar, tetapi cara pemerintahannya berbeza dengan Akbar. Beliau berusaha untuk memberi corak keislaman di India yang majoritinya beragama Hindu.

Kekuasaaan Aurangzeb juga mendapat pengiktirafan dari negara-negara muslim lain. Sekitar 1661-1667 M, mereka mengirimkan dutanya ke India seperti: Sharif Mekah, Raja Persia, Balkh, Bukhara, Kasghar, Urganj (Khiva), Shahr-e-Nau, Gubernur Turki di Basrah, Hadramaut, Yaman, serta Raja Abessinia.

Namun dari penguasa muslim yang memerintah India dari 712-1857, mungkin tidak satupun yang menerima kecaman/cacian dari penulis barat dan hindu sebagaimana Aurangzeb. Beliau digambarkan sebagai seorang Muslim yang tidak toleran, anti Hindu, yang memungut pajak ke atas mereka dan berusaha mengislamkan mereka dengan membuat diskriminasi terhadap mereka melalui jabatan-jabatan pentadbiran dan mengganggu soal keagamaan mereka. Pandangan ini dipromosikan oleh pemerintah India melalui buku-buku teks sekolah dan kampus sejarah pembahagian India (setelah tahun 1947). Hal ini dibuat untuk memburukkan salah satu penguasa india terbaik yang soleh, ilmiah, suci, dermawan, toleran, kompeten, dan berpandangan jauh.

Namun, beberapa tahun terakhir ini beberapa sejarawan Hindu mulai menolak pandangan ini. Sebagai contoh, sejarawan Babu Nagendranath Banerjee menolak tuduhan paksaan ke atas kaum Hindu agar bertukar ke agama Islam oleh penguasa muslim dengan menyatakan bahawa jika itu tujuan mereka maka di India hari ini tidak akan jumlah penduduk Hindu hampir empat kali lebih banyak jika dibandingkan dengan Muslim, meskipun faktanya Kaum Muslim memerintah disana selama sekitar 1000 tahun.

Banerjee menentang hipotesis Hindu yang menyatakan Aurangzeb anti-Hindu dengan alasan bahawa jika hal ini benar bagaimana dia melantik seorang Hindu sebagai panglima tentera? Tentunya, beliau boleh sahaja melantik seorang panglima Muslim yang layak diposisi itu. Banerjee kemudian lebih lanjut menyatakan : "Tidak seorang pun harus menuduh Aurangzeb berfikiran anti Hindu. Dalam pemerintahannya, dasar negara dirumuskan oleh orang-orang Hindu. Dua Hindu memegang posisi tertinggi di Perbendaharaan Negara. Beberapa Muslim berprasangka bahkan mempertanyakan kebaikan keputusannya untuk melantik bukan Muslim untuk jawatan tinggi tersebut. Aurangzeb membantah dengan menyatakan bahawa dia telah mengikuti kaedah-kaedah Syari'ah (Hukum Islam) yang menuntut untuk melantik orang yang tepat diposisi yang tepat."

Selama pemerintahan Aurangzeb yang lima puluh tahun itu, banyak Hindu seperti Jaswant Singh, Raja Rajrup, Kabir Singh, Arghanath Singh, Prem Dev Singh, Dilip Roy, dan Rasik Lal Crory, memegang jabatan pentadbiran yang sangat tinggi. Dua panglima peringkat tertinggi dalam pemerintahan Aurangzeb, Jaswant Singh dan Jaya Singh adalah Hindu. Sementara panglima Hindu lainnya yang mengetuai tentera yang terdiri daripada Raja Vim Singh dari Udaypur, Indra Singh, Achalaji dan Arjuji. Bayangkan, jika Aurangzeb anti orang Hindu, mengapa beliau menempatkan orang-orang Hindu ke posisi tinggi, khususnya dalam bidang ketenteraan, yang mana posisi tersebut boleh melakukan pemberontakan melawan dan menjatuhkannya dari takhta?

Kebanyakan umat Hindu lebih menyukai Akbar berbanding Aurangzeb dengan alasan di pejabat pentadbirannya diistananya mempunyai petugas dari pelbagai etnik dimana kaum Hindu turut serta. Sejarawan Shri Sharma menyatakan bahwa Ketika Sultan Akbar berkuasa, hanya ada empat belas Hindu yang menjadi Mansabdars (pejabat tinggi) di istananya, sedangkan Aurangzeb menempatkan 148  Hindu untuk posisi yang tinggi di istananya. (Ruj : Pemerintahan Mughal) Tetapi fakta ini kurang diketahui.

Beberapa sejarawan Hindu menuduh Aurangzeb atas penghancuran Kuil Hindu. Bagaimana pertuduhan ini dibuat terhadap tokoh yang telah dikenali yang soleh, seorang penganut Islam yang taat? Al-Qur'an melarang setiap muslim untuk mengikut kehendaknya terhadap bukan Muslim dengan menyatakan bahawa "Tidak ada paksaan dalam agama." (surah al-Baqarah 2:256). Surah al-Kafirun dengan jelas menyatakan: "Bagimu agamamu dan bagiku adalah agamaku." Hal ini tidak mungkin dilakukan oleh seseorang yang faham Islam seperti Aurangzeb untuk melakukan hal-hal yang bertentangan dengan ketetapan Al Qur'an.

Menariknya, edisi 1946 dari buku teks sejarah Etihash Parichaya (Pengantar Sejarah) yang digunakan di Bengal untuk siswa kelas 5 dan 6 menyatakan : "Jika Aurangzeb berniat menghancurkan kuil hindu untuk diganti menjadi masjid, maka tidak akan ada satu pun kuil hindu berdiri tegak di India. Sebaliknya, Aurangzeb memberi tanah yang luas untuk digunakan sebagai kuil dan mendukung pembangunannya di Benares, Kashmir dan tempat lain. Malah dokumen rasmi (geran) untuk tanah ini juga masih ada. "

Sebuah ukiran batu di Balaji bersejarah atau Candi Wisnu, terletak di utara Chitrakut Balaghat, masih menunjukkan bahawa pembangunan itu diarahkan oleh pemerintah sendiri. Bukti pemberian tanah Aurangzeb untuk agama Hindu yang terkenal terletak di Kasi, Varanasi dan dengan mudah dapat disahkan dari catatan perbinaan yang masih ada di situ. Buku pelajaran yang sama juga menyatakan: "Selama lima puluh tahun pemerintahan Aurangzeb, tidak seorang Hindu pun yang dipaksa untuk memeluk Islam. Dia tidak mengganggu kegiatan agama Hindu." (hal. 138). Alexander Hamilton, seorang sejarawan Inggeris, yang mengunjungi India menjelang akhir pemerintahan Aurangzeb, mendapati bahawa setiap orang bebas untuk melayani dan menyembah Tuhan dengan caranya sendiri.

Perluasan Pemerintahan Mughal

Dari awal pemerintahannya sampai kematiannya, Aurangzeb terlibat dalam peperangan. Dia membina pasukan tentera besar dan memulakan program perluasan ketenteraan di sepanjang semua jajahan kerajaannya. Pasukan Aurangzeb bergerak ke barat daya ke Punjab dan Afghanistan, ia juga pantas ke selatan, menakluk tiga kerajaan Islam: Nizam dari Ahmednagar, Adilshahi dari Bijapur dan Qutbshahi dari Golkonda.

Nizam Ahmednagar, Adilshahi Bijapur menyerah sebahagian besar wilayah mereka yang ditadbir oleh Mughal Nawab. Namun Qutbshahi dari Golkonda menolak untuk menyerah dan memperkuat pertahanannya dengan menggunakan modal tambang Kollur (satu-satunya tambang berlian di dunia pada masa itu). Setelah pengepungan yang lama dibuat,  pasukan Mughal berjaya menembusi benteng dengan menawan sebuah pintu gerbang. Qutbshahi dari Golkonda dan Abul Hasan Quthb Syah menyerahkan Intan Nur-Ul-Ain, Intan Harapan, Intan Wittelsbach dan Intan Wali sehingga membuat Pemerintah Mughal menjadi raja terkaya di dunia.

Pemberontakan

Pemerintahan Aurangzeb dipenuhi dengan berbagai pemberontakan di jajahannya yang jauh dari Pemerintah Mughal. Para pemberontak terutama kaum Mahratta, Rajput, Jat dan Sikh, yang khuatir apabila seorang Muslim yang keras seperti Aurangzeb menjadi kuat, mula berpakat melawan kekuasaan Mughal. Kaum Pathan juga ingin menangguk di air keruh ketika perang saudara diantara para putera Mughal. Mir Jumla panglima Aurangzeb secara efektif menumpaskan elemen-elemen yang mengacau jauh di Bengal serta menakluk Assam dan Cooch Bihar. Panglima yang gagah ini wafat pada tahun 1663 sehingga Aurangzeb kehilangan orang yang paling dipercayai. Bengal termasuk daerah-daerah Dataran tinggi Chittagong serta Pulau Sandwip ditaklukan oleh bapa saudara Aurangzeb, Shaista Khan.

Kaum Hindu memberontak melawan pemerintah Islam Aurangzeb dan meletus pertama kalinya di Agra didalangi oleh orang-orang Jat dibawah pimpinan Gokla, Zamindar dan Tipat. Tetapi pemberontakan itu ditumpaskan dengan mudah pada (1669). Pada tahun 1670 Shivaji dari Mahratha menyatakan pemberontakannya kepada Mughal. Pada tahun 1671, berlaku pertempuran Saraighat diantara Kerajaan Mughal dan Kerajaan Ahom. Selama pertempuran Mughal itu dipimpin oleh Mir Jumla II dan Shaista Khan. Dalam pertempuran Admiral Mughal, Munnawar Khan dibunuh. Pada tahun 1672, Kaum Satnami, sebuah mazhab Hindu, yang mempercayai klenik, dibawah pimpinan Bhirbhan memberontak dengan bantuan orang-orang Rajput. Mereka dikalahkan pasukan Mughal dengan kerugian yang teruk.

Ditahun yang sama(1672) masyarakat suku Pastun memberontak dibawah pimpinan prajurut penyair Kushal Khan Khattak yang dicetuskan dengan adanya isu tentera Mugal pimpinan  Gabernor Amir Khan menganiaya wanita dari suku Safi di Kunar. Suku-suku Safi menyerang tentera. Serangan ini menyebabkan pembalasan, yang menimbulkan pemberontakan umum dari sebahagian besar suku. Bagi mengembalikan kekuasaannya, Amir Khan memimpin sejumlah besar pasukan Mughal ke Khyber Pass. Disana pasukan itu dikepung dan diusir, dengan meninggalkan hanya empat orang, termasuk Gabernor yang cuba melarikan diri.

Setelah itu pemberontakan semakin merebak disepanjang wilayah Pastun. Penutupan laluan perdagangan Attock-Kabul membuatkan hal ini menjadi kritikal. Ketidakpuasan yang semakin menjadi di negara-negara bahagian utara itu, memaksa Aurangzeb menjadikan Hasan Abdal sebagai markas besarnya untuk menetap sejak Julai 1674 hingga Disember 1675. Dengan kepintaran diplomasi dan kekuatan senjata, akhirnya pemberontakan dapat diatasi. Tahun berikutnya, beliau ke selatan, menghapuskan pemberontakan kaum Mahratta, orang-orang Rajput dan Jat.

Panglima Rajput, Raja Jaswant Singh, yang khianat namun tiga kali diampuni Aurangzeb, wafat pada tahun 1679 dan tidak punya anak untuk menggantikannya. Tetapi setelah Jaswant Singh meninggal dunia, permaisurinya melahirkan anak yang kemudian diberi nama Ajit Singh. Dia tidak diakui sebagai ahli waris daerah Jaswant oleh Kaisar Mughal. Hal ini menyebabkan timbul pemberontakan kaum Rathor. Dalam sebuah pertempuran yang teratur dekat danau Puskar di mana Aurangzeb sendiri mengambil bahagian, para Rajput dan Rathor berjaya dikalahkan.

Perang Deccan dan Bangkitnya Kaum Mahratha

Di zaman Shah Jahan, Deccan telah dikuasai oleh tiga kerajaan Islam: Ahmednagar (Nizam), Bijapur (Adilshahi) dan Golconda (Qutbshahi). Setelah beberapa pertempuran, Ahmednagar secara efektif dipecahkan, dengan sebahagian besar wilayah kerajaan diserahkan kepada Mogul untuk mengimbangi Bijapur. Salah satu jeneral Ahmednagar, seorang Maratha Hindu yang bernama Shahaji, bergabung dengan Bijapur. Shahaji mengirim isterinya Jijabai dan puteranya, Shivaji yang masih muda di Pune untuk merawat datuknya.

Pada tahun 1657, sewaktu Aurangzeb menyerang Golconda dan Bijapur, Shivaji, menggunakan taktik gerilanya, mengambil alih tiga benteng Adilshahi yang sebelumnya dikuasai oleh ayahnya. Dengan kemenangan ini, secara langsung Shivaji mejadi pemimpin kaum Maratha yang ingin memerdekakan diri. Para Maratha menyerang secara mengejut pasukan-pasukan Adilshahi dan Mogul, sehingga mendapatkan senjata, benteng dan wilayah ketenteraan di wilayah Bijapur mahupun Mughal. Shivaji, akhirnya menjadi ancaman bagi negara-negara islam jirannya seperti Golkanda dan Bijapur. Setelah melakukan satu serangan mengejut, dia segera menghilang dilembah-lembah pergunungan. Mereka menggunakan taktik kejutan dan lebih suka menyerang dari belakang. Ada ketika, Shivaji mengundang panglima Bijapur, Afzhal Khan untuk membicarakan perdamaian dengan syarat bahawa kedua belah pihak tidak membawa senjata. Ketika Khan yang berani itu datang untuk menemuinya tanpa curiga, Shivaji membunuh Afzhal Khan semasa dalam rundingan.

Kemudian Aurangzeb menjadi marah apabila mendengar berita itu dan mengarahkan bapa saudaranya, Shaista Khan untuk berperang dengan orang-orang Mahratta itu seiring menaiki takhta pada tahun 1569. Pasukan Mughal segera menawan Chakan dan Poona, tetapi mendapat kesukaran dalam menghadapi gerombolan-gerombolan gerila yang sangat mahir menghilang ke pergunungan apabila didekati. Shivaji melakukan serangan malam hari terhadap kem Mughal di Poona, memasuki kota disertai dengan gerombolan tenteranya menduduki kota Surat yang kaya itu selama empat hari pada Januari 1659 dan merampas harta benda yang besar sekali nilainya.

Bahkan Shivaji menyerang kediaman gabernor di Pune selama perayaan pernikahan pada waktu tengah malam. Kaum Maratha membunuh anak Shaista Khan, bahkan melukai tangan Shaista Khan. Shaista Khan yang hampir tidak selamat itu diangkat kembali sebagai pentadbir Bengal dan menjadi panglima dalam perang melawan Ahoms. Aurangzeb membiarkan kemunculan Maratha untuk beberapa tahun mendatang kerana beliau sibuk dengan urusan agama dan politik lainnya termasuk bangkitnya Sikh. Shivaji menguasai benteng-benteng Mogul dan Bijapur. Akhirnya Aurangzeb mengirim jeneralnya yang kuat, Raja Jai Singh dari Amber, seorang Rajput Hindu, untuk menyerang Maratha. Jai Singh Berjaya menawan benteng Purandar setelah pertempuran sengit di mana panglima Maratha yang bernama Murarbaji dijatuhkan. Shivaji dan tenteranya terpaksa tunduk pada perjanjian Purandar yang ditandatangani pada 11 Jun 1665 dimana Shivaji diwajibkan untuk menyerahkan 23 pasukan tenteranya termasuk membayar pajakan sebanyak 4 lakh Hun. Namun demikian, Shivaji masih tetap dibenarkan mempunyai 12 pasukan tentera. Sejak itu Shivaji menjadi raja Vassal (yang ditakluk) dari kerajaan Mughal dan membantu Aurangzeb dalam Perang Bijapur. Namun kerana menjadi tahanan rumah, dia berjaya melarikan diri dan pada tahun 1670 dia mengisytiharkan perang terbuka terhadap Aurangzeb.

Shivaji akhirnya kembali ke Deccan, dan menggelarkan dirinya sebagai pemerintah Maratha pada tahun 1674. Sementara Aurangzeb terus mengirim pasukan menghadapinya, Shivaji memperluas kekuasaan Maratha sepanjang deccan sehingga kematiannya pada tahun 1680. Shivaji digantikan oleh anaknya Sambhaji. Secara ketenteraan dan politik, Mughal gagal untuk menguasai deccan. Putera Aurangzeb, Akbar meninggalkan istana Mughal dan bergabung dengan pemberontak Muslim di Deccan. Aurangzeb bertindakbalas dengan memindahkan istananya ke Aurangabad dan mengambil alih sebagai panglima tenteranya di Deccan. Pertempuran sering terjadi, dan Akbar melarikan diri ke Persia dan tidak pernah kembali.

Pada 1689 pasukan Aurangzeb menangkap Sambhaji, penggantinya Chatrapati Rajaram dan pasukan Marathanya terus melanjutkan peperangan melawan kekuatan pemerintahan Mughal. Dengan wilayah yang saling berpindah tangan selama bertahun-tahun peperangan tanpa akhir. Bahkan ketika Aurangzeb semakin jauh ke barat wilayah Maratha terutamanya dalam menakluk Satara, Maratha memperluas serangan mereka lebih lanjut ke tanah Mughal, termasuk wilayah Mughal di Malwa, Hyderabad, Jinji di Tamilnadu. Aurangzeb mengisytiharkan perang terus-menerus di Deccan selama lebih dari dua dekat tanpa penyelesaian. Sehingga Aurangzeb kehilangan sekitar satu perlima dari pasukannya melawan pemberontakan dipimpin oleh Maratha di Deccan India. Beliau menghantar ribuan tentera ke Deccan untuk menakluk jajahan Maratha dan akhirnya wafat pada usia 88 tahun, selama kempen terakhirnya melawan Maratha.

Beliau wafat pada 20 Februari 1707, dimakamkan di sebuah kuburan yang biasa di Aurangabad. Makam seorang Raja Besar terakhir Hindustan merupakan bangunan batu yang sederhana tanpa lantai marmar, rumput tumbuh di atasnya dan hal ini memang menggambarkan kesederhanaan hidupnya. Orang mengenang Aurangzeb sebagai lelaki soleh yang adil, teguh memegang syariah, berani dan pintar yang menjadi teladan dari kerajaan Islam. Hidupnya dipenuhi dengan kesederhanaan dan tenaga yang tidak terbatas. Beliau banyak melakukan solat dan puasa sunat. Beliaulah yang paling terpelajar diantara semua pemerintah Mughal. Dia singkirkan semua tradisi yang tidak sesuai dengan Islam, termasuk menunjukkan muka dari jendela 2 kali sehari, menghentikan pembuatan, penjualan minuman keras serta menutup tempat-tempat pelacuran. Dia memperkenalkan undang-undang Islam dan meningkatkan moral serta kesejahteraan rakyatnya. Hidupnya merupakan teladan bagi rakyatnya, menanamkan kesedaran untuk hidup biasa serta kesedaran akan keadilan diantara mereka.

Tidak seperti para pendahulunya, Aurangzeb menganggap perbendaharaan kerajaan sebagai hak rakyatnya. Beliau membuat kopiah dan salinan Quran sebagai pendapatannya. Beliau tidak menggunakan perbendaharaan kerajaan untuk tujuan peribadi atau projek bangunan mewah kecuali mungkin untuk satu projek beliau iaitu membangunkan Masjid Badshahi yang terkenal di Lahore yang selama 313 tahun merupakan masjid terbesar di dunia dan masih bertahan sampai hari ini sebagai masjid terbesar ke-5 di dunia. Beliau juga membina sebuah masjid marmar kecil yang dikenali sebagai Moti Masjid (Masjid Mutiara) di kompleks Benteng Merah di Delhi.

“Beliau tidak suka membuang waktu,” Tulis Ball,”dan selalu dihormati dalam segala tindakannya. Tidak pernah memakai pakaian yang dilarang agama, tidak juga pernah menggunakan piring dan cawan dari perak atau emas. Di Istananya beliau melarang percakapan yang sia-sia, apatah lagi fitnah.” Mengenai kesedaran akan keadilannya, Mr. U.N Ball menulis, ”Aurangzeb melaksanakan kewajipannya sebagai pemerintah dengan segala kesungguhan. Dia memiliki kesedaran mendalam akan keadilan, keberanian yang tinggi, ketahanan yang tidak pernah jatuh. Beliau memimpin sendiri operasi-operasi ketenteraan, bahkan pada usia 88 tahun, beliau tetap mempertahankan tenaganya itu sehingga akhir hayatnya. (Mediaval India – oleh U.N Ball).

Ada salah satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Aurangzeb, kuat peribadinya dan tekun beragama. Suatu hari ketika Aurangzeb beliau solat di hutan di daerah Hyderabad deccan, beliau melihat seekor harimau keluar dengan perlahan dari belukar berjalan menuju kepadanya. Harimau itu cuba menerkamnya, tetapi beliau tidak membenarkan pengawal peribadinya untuk membunuhnya. Aurangzeb membunuh sendiri harimau itu dengan pedangnya, lalu meneruskan lagi solatnya.

Dikisahkan pada waktu perang meletus antara Mughal – Maratha. Dalam peperangan itu, tentera Mughal hampir kalah kerana tentera musuh menggunakan sihir. Senjata yang mereka gunakan tidak dapat digunakan menentang musuh kerana telah bertukar kepada benda-benda lain. Dengan ini, tentera Islam menjadi lemah semangat dan dengan mudah dibunuh oleh musuh. Mendengar hal ini Aurangzeb segera bertindak. Ia segera kumpulkan seluruh tentera dan tiap-tiap senjata yang digunakan unuk bertempur, digantungkan kain bertulis. Tapi isi tulisan itu dirahsiakan, dan tidak seorang pun diizinkan untuk membuka kain yang diikat pada setiap senjata itu. Para tentera itupun kemudian berperang dengan berani dan penuh keyakinan serta bertawakal kepada Allah. Dan mereka akhirnya menang. Setelah perang tamat, Aurangzeb memerintahkan tenteranya membaca tulisan pada kain yang diikat pada pada senjata itu. Alangkah terkejutnya mereka kerana kain itu hanya bertuliskan Bismillah!

Satu tindakan berani yang dilakukan oleh Aurangzeb semasa pemerintahannya adalah mengharamkan muzik kerana muzik boleh membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa khayal kepada cinta yang sia-sia yang diharamkan oleh Islam. Segala bentuk hiburan selain zikir, selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras. Hal ini menimbulkan kejutan bagi para pemuzik dan pendukungnya. Mereka melakukan demonstrasi dengan cara membawa keranda mayat yang berisikan segala alat-alat muzik dalam suatu perarakan. Sambil berarak mereka menangis pilu dan sedih agar dapat mengundang simpati pemerintah dan rakyat. Mendengar suara tangisan yang mendayu-dayu itu, Aurangzeb pun bertanya, “Apakah yang terjadi?” Setelah mendapat penjelasan, Aurangzeb pun berkata, “Katakan kepada para pemuzik itu, cepat-cepatlah mereka kebumikannya kerana aku dan rakyatku tidak tahan lagi dengan bau bangkainya!” Jawapan ini sangat tepat dan tegas. Para pemuzik menjadi kecewa dan sekarang mereka kenal siapa Aurangzeb sebenarnya. Tetapi dalam hati Aurangzeb, beliau sedar itulah cara untuk menyelamatkan rakyatnya dari dosa dan balasan neraka di akhirat nanti. Dia sedar bahawa dialah yang akan ditanya di Padang Masyhar nanti terhadap apa yang dilakukan pada rakyatnya. Biarlah pahit kerana pahit itu adalah ubat.


Pemerintahan Mughal mencapai puncaknya sehingga ke sempadan yang paling jauh sebelum Aurangzeb wafat. Auangzeb melaksanakan misinya dengan penuh kegagahan, kemampuan dan dengan tenaganya yang tidak tertanding. Tetapi para penggantinya terlalu lemah dan tidak mampu menguasai kerajaan yang begitu luas, sehingga Kaum Maratha dapat menguatkan diri dan secara efektif mengawal wilayah Mughal, merebut kekuasaan dari pemerintah selepasnya yang lemah. Dalam 100 tahun selepas wafatnya Aurangzeb, pemerintahan Mughal hanya memiliki sedikit kekuasaan di luar Delhi.

Tweaks : Liberty (bypass jailbreak detection on iPhone)

Hi semua, developer for iphone Mr Ryley telahpun develop 1 useful tweaks utk iphone yg telah di jailbreak. Aku ada pm beliau mohon masuk...